KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan sebanyak RM368.37 juta kepada Felcra Berhad bagi memperkasakan sektor pertanian dan penternakan, sebagai komitmennya dalam memperkukuh jaminan bekalan makanan negara di semua peringkat rantaian makanan.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, daripada peruntukan itu, sebanyak RM339.14 juta digunakan untuk menambah baik infrastruktur, menampung kos bahan mentah dan menaik taraf teknologi, manakala selebihnya bagi perbelanjaan dalaman.
Selain itu, beliau berkata, tambahan dana RM60 juta daripada peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12) dan Rolling Plan 2022 digunakan bagi memperluaskan keupayaan kilang pemprosesan makanan ternakan di Rompin, Pahang.
Katanya, projek itu bertujuan mengoptimumkan penggunaan bahan asas kepada makanan ternakan tempatan, selain turut membangunkan sebuah kilang konsentrat dan kilang silaj bagi memenuhi rantaian nilai penuh.
“Projek itu sudah dilaksanakan dan sedang berjalan. Inisiatif ini merupakan antara langkah menangani punca harga ternakan menjadi mahal dengan Felcra mengambil pendekatan meningkatkan pengeluaran makanan ternakan itu,” katanya pada sidang media di majlis Mesra Aidilfitri Felcra Berhad di Wisma Felcra di Kuala Lumpur, hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan masing-masing bernilai RM3,000 kepada lima institusi kebajikan iaitu Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Surau Jumaat Muhajirin Desa Rejang, Rumah Bakti Al Kausar, Rumah Perlindungan AL-Haq dan Madrasatul Faridiyah Setapak Jaya. – BERNAMA
Leave a Reply