SEORANG penganggur dijatuhkan hukuman dua tahun penjara dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Tawau hari ini kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, dua tahun lalu.
Tertuduh Mohd. Ali Tammalun, 26, mengaku salah atas pertuduhan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1957 (Akta 333/87) dihadapan Majistret Amir Shah Amir Hassan, lapor Utusan Borneo.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 7 Februari 2020 pukul 3.35 petang di KM 55 Jalan Tawau- Semporna.
Mohd. Ali didakwa memandu secara cuai dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian Surtrisno, 25, dan Gyatri Usman, 21.
Dalam fakta kes, tertuduh yang memandu kenderaan pacuan empat roda dari arah Semporna menuju ke Tawau bersama tiga penumpang.
Kemalangan berlaku apabila tertuduh cuba memotong sebuah kenderaan dengan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan dinaiki dua mangsa.
Pegawai pendakwa, Asisten Superintenden Joan Lee dalam hujahannya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal selepas mengambil kira kepentingan awam serta pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.
Amir Shah kemudiannya menjatuhkan hukuman dua tahun penjara dan denda RM5,000 terhadap tertuduh.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara enam bulan jika gagal membayar denda dan lesen memandunya digantung dua tahun.
Leave a Reply