Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG individu dikehendaki polis, maut setelah ditembak dari jarak dekat di tempat meletak kereta, berhampiran sebuah restoran di Jalan Kampung Baru dekat Sungai Petani, Kedah, tengah hari tadi.
Mangsa, S. Murali, 36, maut di lokasi kejadian akibat ditembak berdas-das di muka serta badan.
Menurut Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, pihaknya menemukan sekurang-kurangnya lapan kelongsong peluru di lokasi kejadian.
“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari dengan mangsa dikatakan datang ke sebuah restoran di sini bersama isteri, anak angkat serta rakannya untuk membungkus makanan. Selepas membeli makanan, mangsa kemudiannya dikatakan kembali ke kenderaan ketika isteri serta anak angkatnya masih berada dalam restoran tersebut.
“Ketika membuka pintu untuk masuk ke dalam kereta, mangsa tiba-tiba didatangi empat lelaki menaiki dua motosikal yang berjaket dan mengenakan topi keledar berpelitup penuh. Tembakan kemudian dilepaskan terhadapnya dalam jarak kira-kira satu meter menyebabkannya maut di sebelah kenderaan jenis Toyota Vellfire dinaikinya,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian.
Wan Hassan menambah, semakan mendapati mangsa merupakan individu dikehendaki polis mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) selain dipercayai terlibat dengan kegiatan kongsi gelap.
Selain itu mangsa juga dipercayai turut terlibat dengan kes berkaitan gengsterisme serta dadah.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dengan pihak kami turut meneliti rakaman kamera litar tertutup dari kedai-kedai berhampiran.
Tambahnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Leave a Reply