JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mengambil masa sembilan jam bagi membersihkan tumpahan bahan kimia sisa buangan terjadual seberat 43.1 tan susulan kemalangan membabitkan sebuah treler di Kilometer 215.6 Lebuhraya Utara – Selatan (PLUS) arah utara di Alor Gajah, hari ini.
Komander operasi Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) JBPM Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan treler yang membawa muatan serbuk kuprum dan aluminium itu pada 2.56 pagi tadi.
“Seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dan BBP Ayer Keroh termasuk Pasukan HAZMAT digerakkan ke lokasi dan mendapati treler berkenaan terbabas di bahu jalan.
“Pihak bomba juga mendapati dua lelaki iaitu pemandu treler berusia 29 tahun bersama kelindannya berusia 31 tahun selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkhairani berkata, Pasukan HAZMAT telah mengambil bacaan tahap pencemaran di lokasi tersebut dan mendapati keadaan di kawasan itu selamat.
“Operasi ditangguhkan sementara disebabkan hujan. Kami perlu memastikan bahan tersebut dalam keadaan kering kerana dikhuatiri sisa buangan kimia itu akan memanas dan beracun apabila terkena air. Anggota turut bertindak menutup tumpahan bahan kimia itu dengan menggunakan kanvas kalis air.
“Operasi disambung semua pada 12 tengah hari tadi bagi memindah dan membersihkan tumpahan bahan kimia sisa buangan itu,” katanya. – BERNAMA
Leave a Reply