wushu garfik polis Malaysia australia

Jurulatih wushu disyaki cabul 2 pelajar bawah umur

POLIS menahan seorang jurulatih wushu kerana dipercayai melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan, Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Habibi Majinji berkata, suspek berusia 30-an yang bertugas di sebuah akademi wushu di Cheras, juga pernah ditahan polis daerah Kajang atas tuduhan sama baru-baru ini.

Dalam kes terkini beliau berkata, suspek dipercayai melakukan kesalahan tersebut dalam dua kejadian berasingan awal April lepas.

“Mangsa berusia 12 dan 13 tahun itu mungkin berdiam diri ketika kejadian dan membiarkan tindak-tanduk suspek kerana menganggapnya jurulatih mereka.

“Akibat ketakutan, mangsa telah memaklumkan kepada ibu bapa masing-masing dan laporan polis telah dibuat,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas mengenai modus operandi suspek, Habibi berkata suspek akan mengajak mangsa untuk menaiki keretanya selepas selesai latihan dengan alasan untuk bersiar-siar sebelum mencabul mangsa.

Suspek direman hingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

“Ketika ini kertas siasatan hampir selesai dan polis akan merujuk pihak pendakwa raya hari ini. Arahan pertuduhan akan diperoleh secepat mungkin apabila keterangan suspek mencukupi. Kalau tidak, siasatan akan diteruskan dan reman mungkin akan bersambung.

“Namun, ia perlu diselesaikan segera bagi menjaga kebajikan mangsa yang masih di bawah umur,” katanya.

Habibi berkata, ketika ini mangsa dijaga keluarga masing-masing dan tidak lagi mengikuti latihan di akademi itu akibat fobia selain status penutupan akademi tersebut masih belum diputuskan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan dilapor mengesahkan penahanan suspek berhubung kes cabul pelajarnya yang berusia 13 tahun dalam kejadian pada 11 hingga 19 Feb lepas di sekitar Taman Kajang Mewah, Kajang.

Hari ini Habibi mendedahkan terdapat empat kes melibatkan suspek yang kini sedang disiasat iaitu masing-masing dua di Kuala Lumpur dan Selangor. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *