BAKAL jemaah haji yang positif Covid-19 tetap berpeluang menunaikan ibadah itu jika mereka sembuh sebelum tarikh penerbangan terakhir, kata Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH) itu berkata, bagaimanapun mereka perlu mendapat kebenaran pelepasan daripada pegawai perubatan sebelum dibolehkan meneruskan penerbangan ke tanah suci.

“Perlu faham kalau positif memang tak dapat meneruskan penerbangan kerana sampai di sana  kerajaan Arab Saudi tidak benarkan masuk. Kedua, kita kena ikut SOP Kementerian Kesihatan (KKM) bila positif perlu kuarantin. Kalau mereka positif untuk kumpulan penerbangan terakhir, tiada lagi penerbangan, maka tidak boleh pergi.

“Kalau positif pada peringkat awal dan telah sembuh serta dibenarkan pegawai perubatan setelah didapati negatif (ujian Covid-19) dan jika ada kosong, mereka boleh pergi,” katanya pada sidang media sempena operasi haji tahun 2022 di Kuala Lumpur, lapor portal FMT.

Syed Saleh turut memaklumkan pihak Tabung Haji juga menyediakan pegawai dan pakar perubatan khas dari KKM khusus bagi merawat jemaah yang positif Covid-19 selepas tiba di tanah suci.

“Kita juga menyediakan prasarana kepada mereka yang positif Covid-19 antaranya pusat isolasi di bilik hotel dan wad khusus,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Syed Saleh turut memaklumkan sebanyak 48 penerbangan jemaah haji tahun ini dengan menggunakan dua syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines dan Saudi Arabia Airlines di mana penerbangan pertama akan bermula 4 Jun ini.

Katanya, bakal jemaah haji juga akan mula menerima surat jadual penerbangan mulai minggu depan secara berperingkat.

Beliau berkata, seramai 14,306 individu terpilih untuk mengerjakan ibadat haji tahun ini dan mereka diwajibkan melakukan ujian saringan PCR Covid-19 sebelum melaporkan diri.

Dalam pada itu, katanya, suhu di tanah suci kali ini agak tinggi iaitu melebihi 50 darjah Celsius.

“Ia boleh mengakibatkan strok haba akibat dehidrasi. Setelah dua tahun tak dapat jalani ibadah haji, jemaah kena buat terbaik, persiapkan diri dengan ilmu, mental dan fizikal,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, kerajaan Arab Saudi bersetuju meneruskan inisiatif Makkah Route atau prapelepasan kepada bakal jemaah haji dari Malaysia bagi musim haji tahun ini, kata Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Syed Saleh berkata, pelaksanaan inisiatif itu akan memudahkan proses kemasukan bakal jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci tanpa perlu melalui prosedur yang memakan masa setibanya di lapangan terbang negara itu.

“Pasukan Imigresen dan Kastam Arab Saudi akan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk memeriksa pasport jemaah haji, jadi apabila tiba di lapangan terbang Madinah atau Jeddah mereka tidak perlu lagi menunggu proses imigresen dan kastam.

“Jemaah haji akan terus menaiki bas ke hotel masing-masing sama ada di Madinah atau di Makkah, manakala beg mereka akan diuruskan pihak agensi dari Arab Saudi untuk dihantar ke hotel. Proses ini bukan sahaja tidak mengambil masa lama, malah memberi kemudahan yang sangat baik kepada bakal haji,” katanya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here