Oleh RIZQI ZABIDI
Seorang tukang aluminium bertindak di luar kawalan apabila merogol anak saudaranya ketika isteri dan dua anaknya berusia tujuh dan lapan tahun, sedang tidur dalam bilik yang sama di sebuah rumah di Bandar Mutiara, Sungai Petani, Kedah, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Zaidy Che Hassan berkata, suspek yang berusia 34 tahun dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu ketika masuk ke bilik tidurnya kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Katanya, mangsa yang berusia 16 tahun dan sudah tidak bersekolah dikatakan cuba melawan namun tidak berdaya berbuat demikian.
“Mangsa yang dijaga nenek sejak setahun lalu, datang menumpang di rumah suspek selama dua hari setelah neneknya pulang ke kampung di Pendang. Suspek merupakan suami kepada adik ibu mangsa.
“Akibat terlalu takut, mangsa tidak menjerit ketika diraba dan dirogol bapa saudaranya. Kejadian dipercayai berlaku dalam salah sebuah daripada tiga bilik yang berada dalam rumah tersebut, yang merupakan bilik tidur pasangan suami isteri tersebut,” katanya.
Tambahnya, satu laporan polis dibuat kira-kira pukul 10 malam tadi di Balai Polis Sungai Petani.
“Pemeriksaan dijalankan pakar perubatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) mendapati terdapat kesan tusukan benda tumpul selain koyakan baharu pada kemaluan mangsa.
“Berikutan itu, suspek telah ditahan kira-kira pukul 12.38 malam tadi. Dia kemudiannya direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Leave a Reply