krisis makanan

Kempen bumi hijau atasi krisis bekalan makanan

guane

KETUA Antarabangsa  Pengilang Dalam Operasi Eurasia, Eren Gunhan Ulusoy, baru-baru ini mengatakan bahawa semua institusi antarabangsa bersetuju dunia bakal menghadapi krisis kelaparan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Beliau berkata, hakikat itu antara lain turut diakui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Malah pandangan Ulusoy itu yang memetik laporan antarabangsa bahawa 811 juta orang kekurangan zat makanan dan 276 juta hidup dalam kedaifan dikemukan ketika berucap pada persidangan antarabangsa membabitkan kumpulan itu di Istanbul.

Beliau juga berpendapat, setiap biji gandum itu berharga dan manusia mesti mengambil langkah mengurangkan kelaparan dengan mengelakkan pembaziran serta mencegah kerugian.

Bagi penulis, perkara itu tidak mustahil berlaku memandangkan dunia sekarang sudah semakin ‘berusia’ dan berhadapan dengan pelbagai cabaran,  kekalutan dan ‘penyakit’

Antara topik yang dibincangkan pada persidangan tersebut ialah meminta pengilang agar berusaha untuk melindungi setiap gram bahan mentah.

Selain itu kebimbangan turut terbuai sekiranya  gangguan rantaian bekalan disebabkan krisis di Ukraine gagal diselesaikan, 47 juta lagi orang akan berdepan ancaman kemiskinan.

Ini kerana, Ukraine antara pengeksport gandum utama dunia telah menggantung eksportnya akibat operasi ketenteraan Rusia di negara tersebut.

Jika ini terus berlaku, ia turut melibatkan rakyat di negara kita.

Ini memandangkan gandum merupakan barangan keperluan yang amat sinonim bagi rakyat Malaysia.

Malah sejak penulis masih kecil lagi makanan berasas gandum boleh dikatakan setiap hari menjadi hidangan sekeluarga.

Antaranya termasuklah lempeng, roti canai, biskut dan jemput-jemput.

Suka penulis ingin mengingstkan bahawa kehidupan orang dahulu banyak bergantung kepada bahan mentah yang ada di sekeliling.

Memandangkan ramai yang bekerja sendiri dan sukar mendapatkan wang, maka ramai yang bekerja sebagai nelayan dan petani.

krisis makanan
Kerajaan seharusnya menggalakkan rakyat mengusahakan tanah untuk tanaman yang boleh menghasilkan makanan. (Gambar hiasan: Kindel Media / Pexels)

Rata-rata penduduk mengusahakan tanah dengan menanam padi, bijirin, sayur-sayuran dan pelbagai jenis ubi.

Berdasarkan itu, ia mampu mengelakkan penduduk daripada kelaparan.

Persoalannya, apakah rakyat di negara kita sudah bersedia untuk berhadapan dengan krisis makanan sepertimana dinyatakan oleh Ulusoy itu?

Apapun, sebaiknya kita perlu menjadikan pengalaman orang dahulu iaitu zaman nenek moyang kita untuk bersedia ke arah itu.

Usah kita terlalu leka dan masih lagi terbuai dengan sikap malas untuk mengerjakan sawah bendang atau tanah kebun yang terus terbiar.

Apa yang dikesalkan  penulis mendapati rakyat kita sentiasa merungut setiap kali bahan basah seperti beras, bijirin, sayur-sayuran, ubi kayu dan keledek naik harga sedangkan mereka mempunyai banyak tanah terbiar yang ditumbuhi lalang dan semak samun

Justeru, penulis ingin mencadangkan agar kerajaan menggerakkan program bumi hijau dengan  memperkenalkan  kempen setiap rumah ditanam sayur-sayuran dan tanaman bijirin.

Ia selaras dengan arahan kerajaan sebelum ini yang mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyediakan pelan jangka panjang dan pendek bagi mengelak krisis makanan daripada berlaku di negara ini.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dipetik sebagai berkata, pihaknya sentiasa memberi perhatian terhadap masalah dihadapi peladang terutamanya dalam situasi dunia sekarang yang mengakibatkan peningkatan kos bahan mentah.

Malah, kebimbangan tidak cukup bekalan makanan merupakan isu global bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga seluruh dunia.

Justeru kata beliau, kementerian itu juga diminta supaya mengambil tindakan segera berhubung isu kos sara hidup yang meningkat.

Perdana Menteri turut menggesa Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melaksanakan perubahan dan anjakan paradigma bagi memastikan negara mempunyai bekalan makanan yang mencukupi.

Dengan persediaan, pelaksanaan dan hala tuju yang jelas, penulis berharap Malaysia tidak akan mengalami masalah krisis makanan yang agak teruk.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *