Kanak-kanak hilang disambar buaya

SEORANG kanak-kanak lelaki hilang diserang buaya dalam kejadian terkini di Kampung Nyabut, Telaga Air, Kuching pukul 8.30 pagi tadi.

Mohamad Adammi Mokhtar, 7, sebelum itu sedang duduk bersama-sama nenek dan kakaknya di tebing sungai berkenaan sambil mengambil air.

Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, bagaimanapun secara tiba-tiba, muncul seekor buaya lalu menyambar kanak-kanak berkenaan dan mengheretnya ke dasar sungai.

“Sebaik menerima laporan kejadian sekitar pukul 9.30 pagi tadi, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya telah diatur gerak ke lokasi.

“Setiba di lokasi, dengan kekuatan lima anggota, pasukan ini segera mengaktifkan gerakan mencari dan menyelamat,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Bomba katanya lagi, turut menghubungi pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) bagi mendapatkan bantuan pasukan elit pemburu buaya SWAT SFC.

Ini merupakan kes kedua melibatkan serangan buaya di Sarawak dalam tempoh tiga hari, dengan kes yang pertama berlaku di Kampung Kangka, Sempadi, kira-kira 30 minit perjalanan dari Telaga Air.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *