PROSES pemilihan PKR yang membuka tirainya pada 13 Mei lalu dicemari dengan dakwaan terdapat unsur penipuan termasuk kewujudan pengundi hantu.
Dakwaan yang masih disiasat oleh Jawatan Pemilihan Parti (JPP) itu menambahkan lagi bahang kehangatan yang tercetus ekoran pertembungan antara dua kem calon Timbalan Presiden iaitu Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Kekecohan dilaporkan berlaku di beberapa pusat pemilihan di seluruh negara yang dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati terhadap kepincangan semasa pengundian secara fizikal dijalankan.
Malah, kehadiran Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di pusat pengundian Cabang Port Dickson pada 16 Mei lalu tidak berupaya menenteramkan keadaan.
Laporan BH pada hari yang sama menyatakan proses pengundian terganggu akibat protes yang dilakukan oleh kumpulan yang tidak menyokong Aminuddin yang baru sahaja ‘meloncat’ dari Cabang Tampin ke Port Dickson.
Tidak diketahui apa punca sebenar mereka mengadakan protes namun yang pasti, situasi yang tegang menyebabkan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa campur tangan bagi mengawal keadaan.
Memang memalukan apabila keadaan sedemikian berlaku di hadapan seorang Menteri Besar dan Pengerusi MPN, seolah-olah beliau tidak dihormati oleh akar umbi parti sendiri.
Lebih mengharukan, Parlimen Port Dickson diwakili oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim justeru cabang berkenaan sepatutnya menunjukkan contoh terbaik dari segi kelancaran proses pengundian.
Bagi mereka yang tidak ketinggalan mengikuti pemilihan PKR sejak dari kejayaan parti itu merampas Selangor dan seterusnya membentuk kerajaan di Negeri Sembilan serta menjadi sebahagian daripada kerajaan Pusat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kekecohan yang berlaku bukan sesuatu yang asing.
Seorang sahabat secara terang-terangan berseloroh: “Kalau tak gaduh, tak kecoh, bukan pemilihan PKR lah namanya.”
Cuma, kegagalan PKR menangani dakwaan mengenai kepincangan yang berlaku semasa proses pengundian secara fizikal dan dalam talian sedikit sebanyak menyebabkan reputasi parti tersebut terjejas.
Memandangkan Presiden PKR dan isterinya pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, PKR yang sudah hidup selama lebih 30 tahun sepatutnya menunjukkan kematangan dalam proses pemilihan kepimpinan di segenap peringkat.
Lebih-lebih lagi apabila mengenangkan Presiden PKR masih mengangankan jawatan Perdana Menteri dan masih berharap dapat mencapainya selepas PRU-15.
Melihat kepada kekecohan yang berlaku, ramai rakyat bertanya: “Kalau pemilihan parti sendiri pun tunggang-langgang, bagaimana pula rupanya kalau Presidennya memerintah negara?”
Leave a Reply