PIHAK berkuasa di Jerantut, Pahang menggagalkan usaha pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mengusahakan tanah kerajaan secara haram untuk penanaman durian jenis Musang King di Sungai Rengat, Mukim Ulu Cheka.
Kegiatan yang didalangi penduduk tempatan itu berjaya dikesan hasil intipan anggota Unit Penguatkuasa Barat (UPKB) Zon Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), kelmarin.
Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan (Zon Pahang Barat) JPNP, Shahril Mohamad berkata, ketika serbuan dilakukan, pihaknya menemui seorang lelaki berusia 57 tahun sedang membersihkan kawasan hutan menggunakan jengkaut.
Katanya, kira-kira 30 hektar kawasan yang dibersihkan merupakan sebidang tanah kerajaan yang terletak bersebelahan dengan Hutan Simpan Jerantut Tambahan.
“Siasatan mendapati individu yang terlibat dengan kegiatan ini turut menebang beberapa pokok balak dan kita juga menemui 18 tual balak sepsis meranti dan sesenduk yang sedia untuk dipindahkan.
“Difahamkan, kawasan yang diteroka itu hendak dijadikan kebun durian Musang King dan tanaman kontan lain oleh seorang individu,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Tindakan tegas boleh diambil di bawah Akta Perhutanan Negeri 1984.
Leave a Reply