GOOGLE mengharamkan tiga aplikasi telefon pintar yang didapati digunakan untuk mencuri wang dari akaun bank individu yang memuat turunnya.
Memetik laporan Mirror, aplikasi-aplikasi yang berbahaya itu ialah Style Message, Blood Pressure App dan Camera PDF Scanner.
Aplikasi-aplikasi tersebut cuba mencuri duit pengguna dengan ‘menyamar’ seperti aplikasi lain yang tulen.
Namun, ia mengandungi ‘kuda trojan’ yang berupaya mencuri maklumat peribadi atau memulakan langganan berbayar tanpa dimohon oleh pengguna.
Malah salah satu daripada mempunyai pepijat yang membolehkannya melepasi tapisan keselamatan Google.

Selain itu, terdapat aplikasi lain yang meniru GameBeyond, Tubemate, Minecraft, GTA5 dan Vidmate yang bertujuan menipu pengguna.
Lazimnya, aplikasi yang mempunyai kuda trojan dikeluarkan dari Google Play Store namun penjenayah dengan pantas menggantikannya dengan yang lain.
Pakar dari Kaspersky, Ivan Golovin berkata, kebanyakan aplikasi tersebut tiada mempunyai fungsi yang sah.
“Langganan bermula sebaik sahaja ia dilancarkan di mana pengguna akan melihat proses memuat turun bermula.
“Bayaran dibuat atas nama pengguna untuk perkhidmatan yang sah dan si penipu beroleh bahagiannya daripada wang yang ditolak.
“Langganan sebegini biasanya dibayar dengan menggunakan baki kredit talian telefon,” jelasnya.
Pakar mendedahkan, penjenayah siber memuat turun aplikasi sebenar dan menambah kod hasad sebelum memuat naiknya semula ke Play Store menggunakan nama lain.
Sebaik sahaja aplikasi dimuat turun, ia akan cuba mendapatkan akses kepada pesanan teks atau notifikasi untuk mengumpul maklumat.
Golovin menasihatkan pengguna supata tidak memuat turun aplikasi dari sumber tidak rasmi dan membaca ulasan, maklumat pembangunan serta terma penggunaan dan bayaran terlebih dahulu.
“Bagi pesanan teks, gunakan app yang popular dengan ulasan positif,” katanya.
Leave a Reply