Penyokong Nottingham Forest serang ketua pasukan Sheffield United selepas kalah

POLIS sedang menjalankan siasatan berhubung serangan ke atas Ketua pasukan Sheffield United, Billy Sharp oleh seorang penyokong Nottingham Forest selepas Sheffield United kalah sepakan penalti 3-2 dengan Nottingham Forest.

Penyokong tersebut boleh dilihat masuk ke dalam padang dan menuju ke arah Sharp ketika ketua pasukan tersebut berdiri di tepi padang.

Pengurus kelab, Paul Heckingbottom berkata Sharp cedera sehingga perlu dijahit di bahagian mukanya dan pasukannya ‘terkejut’ dengan kejadian tersebut.

“Bill (Sharp) ketika itu sedang menarik rakan sepasukan yang lain keluar daripada padang semasa diserang. Ia tindakan pengecut. Dia jatuh di atas padang  dan perlu dijahit,” kata Heckingbottom.

Penolong Ketua Polis Nottinghamshire, Rob Griffin berkata, “Kami telah memulakan  penyiasatan untuk mengenal pasti penyokong tersebut dan akan membuat tangkapan secepat mungkin.”

Nottingham Forest mengeluarkan kenyataan mengecam kejadian tersebut dan menegaskan penyokong tersebut akan dilarang seumur hidup daripada sebarang penglibatan dengan kelab mereka.

Mereka juga turut meminta maaf kepada Billy Sharp dan Sheffield United berikutan  kejadian itu.

Heckingbottom memberitahu Sky Sports, beliau tidak faham bagaimana seseorang boleh ‘diserang di tempat kerja’.

“Dah banyak kali kejadian seperti ini berlaku tetapi tiada apa perubahan yang dilakukan dan kami yang terpaksa menghadapinya,” katanya.

Pada Januari lalu, penguatkuasa di United Kingdom melaporkan kepada BBC bahawa rekod tangkapan keseluruhan daripada 5 liga teratas Inggeris berada di tahap paling tinggi selepas kelakuan penyokong bola sepak “semakin teruk”.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *