Tok Chey tidak tahulah adakah orang lain sedar bahawa dunia kini sedang menuju kepada masalah bekalan makanan yang akan menyebabkan kita semua akan menghadapi kesulitan untuk memperolehi makanan.
Semuanya bermula sejak dua tahun lalu apabila Covid-19 melanda bumi ini hingga menyebabkan sektor tanaman tidak dapat digerakkan apabila manusia terpaksa ‘dikurung’ dalam tempoh tertentu bagi mengekang penyebaran wabak.
Setelah Covid-19 makin reda, pelbagai musibah seperti banjir, kemarau melampau, serangan perosak dan macam-macam lagi faktor luaran telah menjejaskan bidang tanaman dan ternakan yang menyebabkan bekalan makanan tidak dapat dipulihkan hingga kini.
Ditambah pula dengan krisis perang Rusia-Ukraine yang secara langsung menyebabkan bekalan gandum dan jagung terjejas.
Rusia membekalkan lebih 30 peratus bekalan gandum dunia manakala Ukraine menduduki tempat keempat dalam kalangan pengeksport dan menyumbang kira-kira 23 peratus dalam pengeluaran jagung.
Selain bijirin itu, kedua-dua negara itu juga penyumbang kepada 78 peratus sumber eksport bunga matahari untuk keperluan dunia.
Oleh kerana perang kedua-dua negara itu tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berakhir, maka krisis makanan melibatkan produk yang berkaitan pengeluaran dari negara itu akan terus meruncing.
Kesan krisis Rusia-Ukraine di Laut Hitam dan gelombang haba disebabkan cuaca panas terik juga telah menyebabkan India telah melarang eksport gandum ke negara luar yang menyebabkan harga makanan itu akan terus melonjak.
Sementara itu, negara jiran kita iaitu Indonesia yang merupakan pengeluar utama sawit dunia telah menghentikan pengeksportan minyak sawit kerana bagi memenuhi permintaan pengguna domestik negara mereka.
Daripada apa yang berlaku, Tok Chey melihat wujud kebimbangan terhadap keadaan di Malaysia kerana berdasarkan Buletin Suku Tahunan Bank Negara Malaysia pada tahun lalu, sistem jaminan makanan Malaysia diibaratkan seperti telur di hujung tanduk.
Ini kerana pergantungan berlebihan kepada sumber import bagi makanan tertentu akan menyebabkan Malaysia menghadapi masalah apabila musibah global yang berlaku ketika ini berterusan tanpa penghujungnya.
Misalnya, 70 peratus daripada bekalan daging kambing Malaysia diimport dari Australia, manakala mangga, kelapa dan daging lembu masing-masing diimport terutamanya dari Thailand, Indonesia dan India.
Tanpa data-data terperinci yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti pun, Tok Chey rasa kita semua boleh lihat dengan mata kepala kita sendiri situasi yang berlaku di sekeliling kita ketika ini.
Contohnya tanaman padi bagi menghasilkan beras untuk makanan ruji kita juga sedang menghadapi cabaran yang besar apabila pesawah berdepan dengan isu harga baja yang meningkat, masalah padi angin, musibah banjir yang merosakkan tanaman serta masalah pengairan yang menjejaskan pengeluaran.
Dan akhir-akhir ini apabila pengusaha kebun durian awal-awal lagi memberi bayangan yang harga durian akan mengalami kenaikan kerana bekalan kurang akibat buah yang tidak menjadi tahun ini, ia perlu dilihat secara menyeluruh.
Ini kerana masalah tanaman yang tidak menjadi hingga menyebabkan masalah bekalan bukan sahaja akan melibatkan durian, tetapi akan turut melibatkan buah-buah yang lain.
Apa yang Tok Chey nyatakan di sini bukan bertujuan untuk mewujudkan kebimbangan, tetapi mahu kita semua mengambil inisiatif daripada sekarang untuk menangani isu ini.
Kerajaan terutamanya perlu serius dalam isu pertanian dan tidak boleh mengambil mudah kerana ia melibatkan kepentingan negara dan rakyat.
Penekanan yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia Keempat iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada tahun 2004 perlu diangkat semula pada waktu ini.
Jika tidak berbuat sesuatu mulai sekarang, kita akan menghadapi kesulitan pada masa depan atau mungkin dalam masa terdekat.
- Tok Chey berpengalaman lebih 20 tahun dalam dunia kewartawanan.
Leave a Reply