alasan culik budak

[VIDEO] Penganggur beri alasan mahu tengok anak ketika culik budak

Oleh RAHIMI MOHAMAD

SEORANG lelaki yang memegang kad orang kurang upaya (OKU) memberi alasan dia hanya mahu melihat anaknya ketika menculik seorang kanak-kanak yang sedang berjalan kaki di Pasir Gudang, Rabu lalu.

Ekoran itu, Muhammad Rahim Ahmad, 26, yang tidak bekerja mengaku tidak bersalah terhadap pendakwaan itu selepas pertuduhan kepadanya dibacakan di hadapan Majistret Zulhilmi Ibrahim di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

Ketika prosiding berlangsung, tertuduh memberitahu sudah lama tidak bertemu dengan anaknya sejak sebelum Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

“Saya cuma mahu tengok anak sahaja, sejak raya saya tak dapat tengok, takut dia kena makan,” katanya ketika berada di kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun berhampiran Sekolah Agama Taman Scientex, Pasir Gudang pada pukul 11.30 pagi, 11 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 1 Jun untuk sebutan semula kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Rabu lalu, beberapa rakaman video dan gambar tular di media sosial yang menunjukkan lelaki itu menculik seorang kanak-kanak lelaki yang memakai pakaian sekolah agama.

@majoritiofficial

Seorang budak sekolah agama diculik di Taman Scientex, Pasir Gudang, Johor hari ini. Kesian dengar budak tu menangis. boleh trauma dia #kesculik #scientex #pasirgudang #johor #tular #beritaditiktok

♬ original sound – Majoriti Official – Majoriti Official

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tertuduh yang merupakan seorang lelaki OKU ditahan orang ramai selepas bertindak menculik kanak-kanak tersebut.

Mangsa yang sedang berjalan kaki diculik suspek yang menaiki motosikal dengan mempelawa kanak-kanak itu memboncengnya sambil memujuk mahu menghantarnya pulang ke rumah sebelum bertindak melarikan diri.

Siasatan mendapati suspek merupakan pemegang kad OKU pesakit mental dan hasil saringan air kencing mendapati lelaki itu turut positif dadah jenis methamphetamine serta dikehendaki polis bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *