SEORANG pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di Kuala Kangsar, hari ini atas lima pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dalam nahas membabitkan pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) pada Khamis malam Khamis lalu.
Mohammad Amirul Aznizam Razali, 28, membuat pengakuan itu sejurus semua lima pertuduhan terbabit dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.
Memetik laporkan Berita Harian, berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu treler jenis Volvo bernombor pendaftaran JPL 9925 di jalan raya dengan cara yang setelah mengambil perhatian tentang segala hal keadaan, adalah berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian
Kesalahan itu menyebabkan kematian kepada lima individu iaitu Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19 dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.
Semua lima pertuduhan itu didakwa dilakukan tertuduh di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di Kuala Kangsar kira-kira jam 1 pagi pada tengah malam Khamis lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000 untuk setiap pertuduhan.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Mohammad, manakala tertuduh diwakili peguam, G Ravishankar.
Nur Asmaniza memohon jumlah jaminan tinggi dikenakan terhadap tertuduh memandangkan kes membabitkan kepentingan awam, serta mendapat liputan media secara meluas, selain memohon lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai melalui perbicaraan.
Terdahulu, Ravishankar membuat bantahan awal apabila pihak pendakwaan membuat lima pertuduhan berbeza bagi kes ini, sekali gus meminta nama kelima-lima mangsa dimasukkan hanya dalam satu kertas pertuduhan.
Ravishankar berkata, ia atas alasan alasan faktor kesalahan, tarikh, masa dan tempat adalah sama yang mana semua lima mangsa itu berada dalam satu kenderaan yang sama ketika kejadian, di mana bilangan pertuduhan yang banyak dilihat kelak akan memberi kesan kepada jumlah wang jaminan dikenakan.
Selain itu, pembelaan turut memohon jaminan rendah atas faktor tertuduh kehilangan pendapatan apabila lesen memandunya digantung, selain mengambil kira isteri tertuduh yang hanya berniaga kecil-kecilan serta menanggung tiga anak berusia antara dua hingga 14 tahun.
Mahkamah menetapkan wang jamin keseluruhan RM20,000 atau RM4,000 bagi setiap daripada lima pertuduhan itu dengan seorang penjamin, selain menetapkan 30 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.
Leave a Reply