PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada warga pendidik di seluruh negara yang menyambutnya hari ini.
Berikut adalah ucapan penuh beliau yang disiarkan dalam laman Facebook hari ini:
Assalamualaikum dan apa khabar semua? Saya harap saudara-saudari sihat walafiat.
Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat-Nya kita dapat menyambut Hari Guru pada hari ini.
Sempena sambutan Hari Guru, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga pendidik di negara ini atas segala jasa dan pengorbanan mereka mendidik anak bangsa menjadi warga berguna sekali gus menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.
Saya pasti sambutan Hari Guru tahun ini terutama di peringkat sekolah lebih meriah kerana negara sudah memasuki fasa peralihan endemik dan sudah tidak ada lagi sekatan untuk mengadakan majlis atau acara sambutan termasuk Hari Guru.
Gunakanlah peluang ini untuk mengeratkan lagi silaturahhim sesama guru atau dengan anak murid.
Kita tidak akan sesekali melupakan pengorbanan besar para guru dan pendidik ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketika itu murid dan pelajar tidak dapat ke sekolah kerana semua sekolah dan institusi pendidikan terpaksa ditutup bagi mengekang penularan virus berbahaya itu.
Bagaimanapun warga pendidik tidak berdiam diri dan meneruskan tanggungjawab sebagai seorang guru dengan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian bagi memastikan murid dan pelajar dapat belajar seperti biasa.
Kerajaan juga telah memperkenalkan DidikTV bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran di rumah terutamanya bagi pelajar luar bandar yang mempunyai akses internet dan peranti yang terhad.
Setelah pandemik reda dan murid sudah dapat kembali belajar semula, sebahagian besar sekolah memperkenalkan pula ’catch up programme’ kepada murid-murid yang terjejas bagi memastikan mereka tidak jauh ketinggalan atau tercicir dalam pelajaran.
Sungguh besar pengorbananmu wahai warga pendidik dan tidak mampu dibalas dengan apa juga harta dunia. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala jasa dan khidmat bakti anda selama ini.
Saya berdoa agar anda semua sentiasa sihat, tabah dan diberi kekuatan untuk terus memikul tanggungjawab mendidik dan memartabatkan anak bangsa.
Selamat Hari Guru 2022. Sekolah Tunjang Negara SEJAHTERA
Leave a Reply