syawal

Ketepikan politik, marilah bermaafan sementara Syawal belum pergi

guane

RAMADAN sudah pun berlalu meninggalkan kita semua dan Syawal pula bakal menyusuri ke penghujungnya tidak lama lagi.

Ketika Syawal mula menjelma baru-baru ini ia membuka peluang kepada semua umat Islam di dunia yang semakin tua ini untuk menginsafi setiap perlakuan dan keterlanjuran yang pernah dilakukan selama ini.

Bagaimanapun, ia masih belum terlambat untuk kita berbuat demikian.

Sebagai umat Islam, kedatangan Syawal perlu dihayati dengan penuh khusyuk dan tawaduk seiring dengan alunan takbir pada pagi hari raya yang bergema dari menara- menara masjid di kawasan berhampiran.

Lalu kita seharusnya bertanya kepada diri sendiri, apakah masih ada peluang untuk kita terus menyambut dan menikmati suasana hari lebaran seperti ini pada tahun hadapan?

Apakah kita masih berpeluang mengadakan kunjung mengunjung, ziarah menziarahi sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai setelah dua tahun terpaksa berkurung ekoran berlakunya penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Oleh itu penulis berharap sempena sambutan Aidilfitri tahun ini dan ketika Syawal masih lagi berbaki ini, semua pihak terutama orang politik untuk sama-sama merenungi apakah tujuan sebenar kita berada di atas muka bumi ini dan bagaimana pula penghujungnya!

Apakah tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita telah dilaksanakan sebaik mungkin, khususnya  membabitkan masa hadapan generasi kita yang dikenali sebagai bangsa Melayu.

Sepertimana perumpamaan orang dulu-dulu pernah mengatakan ‘akkan Melayu hilang di dunia’, ‘air dicincang takkan putus’, ‘sebusuk-busuk daging kalau dibasuh, boleh dimakan jua’ perlu dihayati sebaik mungkin.

Ini kerana ia untuk menggambarkan betapa eratnya hubungan orang Melayu khususnya dalam kalangan adik beradik sekalipun ada perselisihan pendapat dan bergaduh, tetapi akhirnya kembali bercantum.

Persoalannya, apakah perumpamaan tersebut masih bertunjang kuat serta menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat kita pada hari ini?

Perkara inilah yang seharusnya kita renungi bersama sepanjang berada dalam bulan Syawal yang mulia ini, khususnya dari segi perpaduan ummah serta keruntuhan akhlak umat Islam yang kini dilihat semakin membimbangkan.

Sehubungan itu, sempena Syawal yang masih berbaki ini, marilah kita berusaha untuk mencantum kembali hubungan yang telah retak hanya semata-mata disebabkan perbezaan dan pergeseran politik.

Marilah kita bermaafan  serta melupakan sejenak soal fahaman politik yang berbeza  sambil mencari arah sebenar masa hadapan generasi Melayu yang kini seperti berada dalam keadaan terumbang-ambing.

Ia penting kerana nasib dan masa hadapan bangsa Melayu serta umat Islam adalah terletak kepada kekuatan, perpaduan dan kebijaksanaan pemimpin Melayu sendiri dalam mencorakkan hala tuju pentadbiran negara termasuk dari segi teras politiknya.

Sekiranya teras politik diwakili orang Melayu berpecah belah, ia bakal meletakkan bangsa kita akan hilang kekuatan dan kekuasaan.

Malah, jika perkara ini berlaku sudah pasti generasi akan datang tidak teragak-agak melabelkan  kepimpinan Melayu sebagai ‘pengkhianat’ bangsa sendiri hanya  gara-gara mengamalkan politik jumud.

Biarlah peristiwa kemasukan tentera Jepun dan pemerintahan British di Tanah Melayu suatu ketika dahulu dijadikan sebagai kenangan pahit yang terpahat kuat dalam lipatan sejarah.

Cukuplah penderitaan yang dialami nenek moyang kita dahulu sebagai pengajaran bermakna dan ia tidak seharusnya berulang kembali.

Sebagai pewaris bangsa dan tanah air yang sudah mencapai 64 tahun kemerdekaan, kita seharusnya sudah mampu menilai sejauh mana tahap kekuatan bangsa Melayu dalam menghadapi cabaran lebih besar untuk masa akan datang.

Justeru, penulis berharap semua pihak terutama pemimpin politik yang mewakili orang Melayu perlu menjadikan kedatangan Syawal pada kali ini sebagai medan terbaik untuk muhasabah diri dan mencantumkan semula perpaduan yang telah retak sambil mengambil peluang untuk bermaaf maafan demi bangsa, agama dan negara.

Buangkan ego, bertindaklah dari sekarang demi kelangsungan dan terjemahan ukhwah untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *