Sheikh Mohammed

Sheikh Mohammed dilantik Presiden baharu UAE

PEMERINTAH de facto Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan dilantik secara rasmi sebagai presiden baharu negara itu hari ini iaitu sehari selepas kematian abangnya, Sheikh Khalifa pada usia 73 tahun.

Menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi berita WAM, pelantikan Putera Mahkota, Sheikh Mohammed, 61, atau juga dikenali sebagai MBZ sebagai pemerintah negara kaya minyak yang diasaskan bapanya pada 1971 itu dilakukan Majlis Tertinggi Persekutuan.

Pengumuman itu dibuat selepas MBZ bertemu dengan anggota majlis tersebut yang terdiri daripada pemerintah tujuh emiriah di negara berkenaan yang kini berkabung selama 40 hari bermula semalam.

Beliau dilihat sebagai calon terdekat dan paling layak memandangkan Sheikh Mohammed telah menjalankan tugas rasmi mewakili abangnya sebelum ini.

Di bawah pentadbirannya, UAE yang berpopulasi 9.89 juta penduduk itu telah mencipta sejarah apabila berjaya menghantar angkasawan ke angkasa lepas dan kenderaan robotik ke planet Marikh selain membuka reaktor pertama serta menggunakan pengaruhnya untuk membangunkan dasar luar yang lebih tegas.

MBZ yang bersekutu rapat dengan Arab Saudi telah muncul sebagai pemimpin Asia Barat yang disegani dan mengurangkan ‘campur tangan’ Amerika Syarikat (AS) serta menormalkan semula hubungan dengan Israel yang mengundang reaksi pelbagai pihak.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *