Oleh RIZQI ZABIDI

WALAUPUN tiada kejadian melempar kerusi atau pergelutan berlaku, sesi pengundian fizikal Pemilihan PKR 2022 bagi Cabang Alor Setar hari ini tetap diselubungi kontroversi apabila salah seorang daripada dua calon Ketua Cabang yang bertanding, kurang berpuas hati dengan situasi berlaku.

Menurut salah seorang calon Ketua Cabang di situ, Mejar (B) Ismail Feisol, antara isu yang mengecewakan adalah kedudukan khemah antara calon bertanding yang disifatkan sebagai tidak mengikut perjanjian.

Katanya, dalam perjanjian sebelum ini, kedudukan khemah calon ditetapkan secara berdepan di luar pagar Dewan Persatuan India Kedah (KIA) yang menjadi lokasi sesi undian itu berlangsung.

“Tetapi apabila saya sampai ke sini pagi ini, didapati khemah untuk calon lain berada di tempat berbeza dan bukan berdepan dengan kedudukan kami seperti dijanjikan.

“Cara nak tarik undi juga macam nak berkelahi. Orang Kedah kata macam ‘melahaq’ (kebulur) nak menang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di dewan Persatuan India Kedah (KIA) yang menjadi lokasi pembuangan undi fizikal bagi cabang tersebut, hari ini.

Menurutnya, perkara seperti itu perlu diberi perhatian oleh pihak atasan parti supaya rakyat tidak bosan dengan kerenah yang berlaku dalam parti.

“Jangan kata rakyat, saya sebagai calon juga bosan dengan apa yang berlaku. Dulu saya masuk PKR kerana tidak setuju dengan perkara sebegini yang berlaku pada parti lain tetapi sekarang, kita pun sama macam ‘depa’ juga,” katanya.

Tambahnya, beliau akan membuat aduan mengenai perkara itu kepada saluan ditetapkan.

Dalam pada itu itu, Koordinator Negeri Kedah, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Rashid Din proses pengundian fizikal di Cabang Padang Serai terpaksa ditangguhkan berikutan masalah teknikal, selain beberapa perkara yang menjadi pertikaian.

Menurutnya, keputusan untuk menangguhkan pemilihan di cabang berkenaan dibuat kira-kira pukul 12 tengah hari tadi dengan pemilihan semula dijangka akan diadakan minggu depan.

“Berikutan keputusan tersebut, undian awal yang dibuat sebelum itu tidak akan diambil kira.

“Ada juga kawasan lain yang berlaku masalah teknikal dan pertikaian mulut namun sesi undian berjalan lancar tanpa ada pergaduhan fizikal. Selain di Padang Serai, sesi undian di 14 cabang lain melibatkan Sungai Petani, Kulim Bandar Baharu, Merbok, Sik, Jerai, Baling, Kubang Pasu, Alor Setar, Langkawi, PadangTerap, Kuala Kedah, Pokok Sena, Pendang dan Jerlun berjalan lancar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here