PROSES pengundian secara fizikal bagi pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah di Cabang Padang Serai hari ini terpaksa ditangguhkan.

Penangguhan itu dilakukan setelah mendapat bantahan berikutan wujud rasa tidak puas hati selain masalah teknikal.

Koordinator Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) negeri, Datuk Rashid Din berkata, pemilihan yang bermula pada 9 pagi itu terpaksa ditangguhkan sehingga 12 tengah hari sahaja.

“Kita sedang berbincang dengan kepimpinan bilakah tarikh yang sesuai untuk adakan semula pemilihan Cabang Padang Serai, jangkaan kemungkinan diadakan pada minggu depan.

“Antara masalah teknikal yang mengganggu kelancaran pengundian adalah berpunca daripada data dalam talian yang mengalami gangguan.

“Pemilihan kali ini tidak dicemari dengan pergaduhan secara fizikal, hanya ada perang mulut di beberapa tempat yang berpunca daripada banyak sebab antaranya, tidak berpuas hati dengan kedudukan khemah calon yang bertanding,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Rashid memaklumkan, pemilihan di kesemua 14 cabang lain melibatkan Sungai Petani, Kulim Bandar Baharu, Merbok, Sik, Jerai, Baling, Kubang Pasu, Alor Setar, Langkawi, Padang Terap, Kuala Kedah, Pokok Sena, Pendang dan Jerlun berjalan lancar.

“Hanya satu cabang, iaitu Padang Serai akan dijadualkan semula,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan pusat pengundian bermula pada 9 pagi hingga 5 petang, hanya beberapa cabang bermula sedikit lewat atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan, pengundian secara fizikal bagi Kedah dan Johor diadakan hari ini, diikuti Pahang dan Wilayah Persekutuan (esok), seterusnya Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan pada 16 Mei.

Sementara Selangor akan diadakan pada 21 Mei, disusuli Perak, Sabah dan Sarawak (22 Mei).

Pengundian secara dalam talian bagi ahli PKR di luar negara akan diadakan 17 Mei dan undian dalam talian bagi ahli parti selebihnya diadakan dari 18 hingga 20 Mei melalui aplikasi ADIL yang diperkenalkan pada 28 Februari lepas.

Pemilihan PKR yang diadakan secara hibrid buat julung kalinya, menyaksikan jawatan nombor dua parti itu menjadi tumpuan apabila Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Naib Presiden dilantik, Rafizi Ramli, bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kerusi Presiden PKR bagi tempoh 2022-2025 apabila menang tanpa bertanding jawatan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here