SELEPAS tiga hari mencari kru kapal layar yang dilaporkan hilang selepas terjatuh daripada sebuah bot di perairan Kuah, Langkawi, petang kelmarin, mayat lelaki berkenaan ditemui lemas, pukul 7.20 pagi tadi.
Mayat Ahmad Nur Hassanuddin Ibrahim, 24, ditemukan terapung oleh orang awam kira-kira 1.5 batu nautika dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama-sama Pasukan Polis Marin (PPM) sudah pergi ke titik koordinat bagi proses pengambilan mayat dan dibawa ke Jeti Marble, Langkawi.
“Pengecaman mayat dilakukan oleh bapa, ibu dan kakak mangsa, sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk bedah siasat,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.
Shariman berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan Pangkalan Hadapan Carilamat ditutup pukul 9 pagi tadi.
Sementara itu, bapa mangsa, Ibrahim Majid, 68, ketika ditemui berkata, dia dan keluarganya yang tiba dari Alor Setar sejak semalam, reda dengan pemergian anak bongsunya itu.
“Alhamdulillah. Hari ini selesai semuanya selepas mayat ditemui dan saya dan isteri, Norhayati Saad, 60, serta keluarga telah membuat keputusan untuk kebumikan jenazah arwah di sini (Langkawi),” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kru kapal layar, Ahmad Nur Hassanuddin Ibrahim, 24, dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada sebuah bot di perairan Kuah di sini, pada 5 petang Rabu.
Ketika kejadian mangsa dilaporkan terlewat hadir bertugas dan mengemudi bot bersendirian dari Jeti Marble dan cuba mengejar kapal layar di kawasan berhampiran.
Nelayan yang dalam perjalanan pulang menemui sepasang selipar dan satu topi terapung berhampiran bot kecil sebelum mendapat pertolongan rakan dan menghubungi polis.
Leave a Reply