PENELITIAN semula kadar elaun pelajar luar negara tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan dibuat berdasarkan kos yuran pengajian, lokasi pengajian dan kadar pembayaran utiliti, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Memberi jaminan laporan penelitian semula itu akan disegerakan, Mahdzir berkata, proses itu sedang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi suatu kajian berkaitan kenaikan kos sara hidup pelajar tajaan MARA di luar negara khususnya di United Kingdom (UK) dan Ireland.

“Kajian ini sudah dimulakan sejak bulan lepas selepas kita terima maklumat berhubung isu ini daripada pelajar tajaan kita di luar negara. Insya-Allah akan siap dalam masa terdekat. Usaha akan disegerakan bagi selesaikan isu ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya KPLB di sini hari ini.

Mahdzir sebelum ini dilaporkan berkata, KPLB sedang mengkaji kadar elaun tajaan MARA untuk pelajar di luar negara susulan kenaikan kos sara hidup dan akan menyerahkan laporan kajian tersebut kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Kementerian Kewangan.

Ia susulan laporan Badan Perhubungan Negara United Kingdom & Eire (BPN UKE) yang menggesa agar penstrukturan semula elaun sara hidup pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam serta MARA dilaksanakan segera berikutan kenaikan kos sara hidup di UK dan Ireland sehingga membebankan pelajar tajaan agensi terbabit.

Sehingga kini, terdapat 3,896 orang pelajar tajaan MARA sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang dan peringkat di beberapa negara antaranya 1,422 orang di UK, Jordan (297), Jerman (291), India (234), Australia (226), Rusia (85) dan Sepanyol (28). – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here