DUA daripada lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini malam semalam menunjukkan perubahan sikap ketika meraikan Aidilfitri baru-baru ini.
Yuzambree Ramlee Mohd Yunus, 46, bapa saudara kepada Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, berkata pelajar Diploma Kaunseling Islami itu tidak banyak bercakap seperti kebiasaannya dan tidak menyangka pertemuannya dengan Ahmad Akmal pada lima hari lepas merupakan yang terakhir sebelum anak saudaranya pulang ke USAS.
“Kadang-kadang macam ada nampak perubahan tetapi tidak sangka jadi macam ini (kemalangan) dan mengejutkan kami,” katanya kepada pemberita di Kuala Kangsar hari ini.
Beliau berkata Ahmad Akmal tinggal bersama keluarganya di Parit Buntar dekat sini selepas kematian neneknya dan pelajar itu dijaga oleh nenek selepas kedua ibu bapanya bercerai.
Sementara itu, adik kepada seorang lagi mangsa, Mohd Fikri Aidol Munir Akbar, 16, pula berkata abangnya Muhammad Nasrun, 22, seolah-olah merajuk dengan mereka sekeluarga kerana hanya dapat beraya bersama pada petang Aidilfitri.
“Pagi hari raya, arwah tidak dapat sambut dengan keluarga sebab kami berada di Selangor manakala dia di rumah opah (nenek) di Batu Gajah. Pagi itu dia raya tanpa di sisi keluarga.
“Pada sebelah petang, baru kami sampai di Batu Gajah, nampak muka dan perangai dia lain sangat tidak dapat beraya dengan keluarga…sebelum ini dia ceria dan suka bergurau,” katanya dengan menambah ibu bapanya menerima maklumat kemalangan itu pada kira-kira 2.30 pagi tadi lalu mengejutnya dari tidur.
Mohd Fikri berkata dia bersama ahli keluarga kali terakhir bertemu arwah pada Ahad lepas di rumah nenek saudaranya di Batu Gajah.
Sementara itu, bapa kepada seorang lagi mangsa yang maut dalam kemalangan itu, Ahmad Hafizan Abdul Rahman, 49, berkata anaknya Ahmad Naim Najmi, 21, sempat memaklumkan sedang berada di Ipoh bersama rakan-rakannya untuk membeli buku dan barangan lain, menerusi panggilan telefon pada kira-kira 8 malam.
“Pada waktu itu saya rasa semuanya dalam keadaan baik sahaja. Arwah sering dilihat senyap dan tidak banyak bercakap namun kerap terbabit dengan badan bukan kerajaan malah pernah menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sewaktu peringkat diploma sebelum melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di universiti sama,” katanya.
Ahmad Hafizan berkata beliau dan isteri menerima maklumat kemalangan daripada rakan arwah anaknya kira-kira 3 pagi lalu bertolak ke Kuala Kangsar dari kediaman mereka di Chukai, Terengganu kira-kira 7 pagi tadi.
Selain Ahmad Akmal, Muhammad Nasrun dan Ahmad Naim Najmi, dua lagi pelajar yang maut selepas kereta dinaiki mereka terbakar akibat kemalangan dengan dua treler ialah Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Iqbal Hasnun Halimi, 23.
— BERNAMA
Leave a Reply