BERBANDING sejak tiga tahun lalu selepas tewas dan kehilangan kuasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, sambutan Ulang Tahun Ke-76 UMNO hari ini agak berbeza. Ia kerana parti itu kembali meletakkan pemimpinnya sebagai Perdana Menteri.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menduduki jawatan itu selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa meletakkan jawatan selepas 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap beliau. Muhyiddin mengundurkan diri pada 16 Ogos 2021 dan Ismail Sabri menggantikan Ahli Parlimen Pagoh itu pada 20 Ogos 2021.
Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri Kesembilan bukan atas sokongan sepenuhnya daripada ahli-ahli Parlimen UMNO sahaja tetapi juga daripada Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak. Keadaan itu berlaku kerana UMNO tidak ada cukup majoriti menubuhkan kerajaan apatah lagi membolehkan mereka memilih seorang calon Perdana Menteri.
Bagaimanapun keadaan tersebut nampaknya tidak menginsafkan segelintir pemimpin-pemimpin parti itu yang dilihat terus angkuh ketika Ismail Sabri bertungkus lumus menguruskan negara bersama barisan Kabinetnya yang menggabungkan pelbagai parti termasuk daripada PN.
Kemenangan di dua Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor telah menyebabkan mereka semakin angkuh dan begitu yakin bahawa rakyat sudah kembali menyokong Barisan Nasional (BN) dan orang Melayu khususnya sudah melupakan atau memaafkan ‘dosa-dosa’ beberapa pemimpin utama mereka yang terpalit dengan dakwaan rasuah dan salahguna kuasa.
Tetapi mereka lupa atau sengaja melupakan atau buat-buat lupa bahawa pungutan undi di Melaka dan Johor sama sekali tidak boleh dijadikan penanda aras bahawa rakyat sudah kembali menyokong BN apatah UMNO. Ya benar, BN kembali menjadi kerajaan di kedua-dua negeri itu.
Namun kalau sesiapa yang mengkaji secara mendalam keputusan dan ‘post mortem’ pelbagai pihak berhubung keputusan kedua-dua PRN tersebut, mereka akan mengetahui bahawa ada pemimpin UMNO hanya syok sendiri dan sengaja menyembunyikan hakikat bahawa pertarungan dalam PRU-15 tidak sama dengan PRN di Melaka mahupun Johor. Ia adalah pertarungan dalam gelanggang berlainan dan situasi berbeza.
Justeru jika pemimpin dan ahli UMNO terus dibuai dengan kemenangan di kedua-dua negeri ini dan membuat andaian mereka akan kembali memegang tampuk pemerintahan negara selepas PRU-15 ia boleh dianggap silap besar, tambahan pula jika UMNO terus bergantung kepada pemimpin-pemimpin bermasalah dan sudah tercemar integritinya. Sepatutnya pemimpin dan ahli UMNO perlu berani menolak pemimpin seumpama itu bukannya terus menyanjung mereka atau ‘kecut perut’ untuk melakukan gerakan bagi menyingkirkan kelompok berkenaan.
‘Menyingkirkan’ bukanlah melalui rampasan kuasa atau gerakan ‘tikam belakang’ atau bersikap ‘duri dalam daging’ seperti mana dilakukan oleh segelintir pemimpin kanan UMNO ketika mereka bersedia berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dahulu tetapi ‘penyingkiran’ pemimpin bermasalah dalam UMNO dilaksanakan berlandaskan kepada peraturan dan Perlembagaan.
Cara paling terbaik ialah tidak menangguhkan pemilihan parti. Pemimpin dan ahli UMNO perlu bersedia dan berani bersuara untuk menuntut supaya pemilihan diadakan sebelum PRU-15 kerana UMNO memerlukan barisan kepemimpinan berwibawa, bersih dan berintegriti yang tidak terpalit dengan sebarang dakwaan salah guna kuasa mahupun rasuah.
Usahlah buta mata dan pekak kan telinga untuk mengakui bagaimana UMNO yang akan menyambut Ulang Tahun ke-76 masih dibayangi dan dikuasai oleh pemimpin-pemimpin bermasalah. Bukti apa lagi yang mereka mahukan? Ada antara pemimpin itu sudah didapati bersalah, ada yang dipanggil bela diri dan ada pula semakin banyak ‘perkara-perkara menarik’ didedahkan ketika proses perbicaraan berjalan.
Bangkitlah! Beranilah sikit untuk memastikan pemimpin-pemimpin terlibat tidak lagi berada dalam arus kepemimpinan UMNO. UMNO bukannya ketandusan pemimpin. Ismail Sabri sudah membuktikan kewibawaannya, beliau paling layak menjadi Presiden dan mengepalai jentera BN dalam PRU-15. Beliau tidak ada masalah integriti, begitu juga dengan Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan beberapa orang lagi.
Justeru kenapakah UMNO dan BN masih lagi mahu bergantung kepada pemimpin bermasalah? Cubalah bertanya kenapakah pemilihan mahu ditangguhkan? Tak kanlah kerana bimbang ada perpecahan?
Parti-parti lain selamba aje buat pemilihan sebelum PRU-15…tak kanlah pemimpin dan ahli UMNO ‘lebih buruk perangai’ daripada parti-parti tersebut? Atau penangguhan itu dibuat kerana ada agenda politik lain? Penulis hanya bertanya…jangan marah.
Sememangnya banyak spekulasi dan tafsiran boleh dibuat jika UMNO menyambut Ulang Tahun Ke-76 dengan menangguh pemilihan parti, masih bergantung dengan pemimpin bermasalah dan dibuai dengan mimpi akan kembali berkuasa selepas PRU-15. Penulis tidak kata mustahil UMNO kembali berkuasa selepas pilihan raya tersebut, tetapi bersihkanlah dulu parti daripada pemimpin bermasalah.
Dan paling penting Ismail Sabri yang harus diberi perhatian dan diketengahkan serta disokong sepenuhnya kerana beliau adalah calon PM kepada BN. Populariti beliau tidak harus ditenggelami dengan populariti pemimpin bermasalah atau ada masalah integriti. Jika dibiarkan sudah pasti, ia akan menjejaskan imej UMNO.
Mereka juga perlu faham PRU-15 bukan seperti PRN Melaka dan Johor, jangan ingat sentimen di kedua-dua negeri akan berterusan di negeri-negeri lain khususnya di kerusi-kerusi Parlimen yang menjadi penentu pembentukan kerajaan pusat.
Kenapa? Kerana segelintir pemimpin UMNO masih dilihat tidak berubah, sudah ada kuasa sikit mula ‘besar kepala’, keangkuhan semakin terserlah hingga merasakan tanpa sokongan parti Melayu lain pun mereka boleh menang PRU-15.
Ingatlah di Melaka dan Johor, sokongan pengundi Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) khusus Bersatu terus meningkat…ia isyarat bahawa UMNO bukan satu-satunya parti pilihan orang Melayu dan pengundi atas pagar. Justeru jangan terlalu angkuh, kalau tak percaya tunggulah PRU-15… bak dialog dalam filem Ali Baba Bujang Lapok….’’mari kita tengok siapa yang kena ‘’.
Leave a Reply