buli remaja OKU Taiping

Penganggur mengaku salah tampar, buli remaja OKU

SEORANG lelaki didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di Taiping, hari ini selepas mengaku bersalah sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang remaja orang kurang upaya (OKU) lembam, Sabtu lalu.

Majistret Nurfarah Syahidah Mohd Noh turut menetapkan hukuman penjara selama sebulan sekiranya Mohammad Hidayat Hamzah, 22, gagal membayar denda yang dikenakan, lapor Harian Metro.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang tidak bekerja didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa yang berusia 13 tahun di sebuah lokasi di Taman Tasik Taiping, Taiping pada 2.15 pagi, 7 Mei lalu.

Kesalahan itu dibaca mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ng Wei Jun.

Tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan ditemani bapanya dan kemudiannya membayar denda yang dikenakan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisiober Osman Mamat dilaporkan berkata, suspek ditahan susulan video berdurasi satu minit dan dua saat itu tular di media sosial.

Vidoe itu menunjukkan seorang lelaki menampar hingga mangsa terduduk selain dibuli sehingga menangis ketakutan sambil memegang basikal.

Insiden itu dipercayai berlaku selepas suspek mahu meminjam basikal milik mangsa.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *