AIDILFITRI kali ini mencatatkan pelbagai memori yang akan dikenang sebagai perayaan yang cukup unik selepas dua tahun tidak dapat pulang beraya di kampung kerana sekatan perjalanan akibat Covid-19.
Ramai yang berkongsi suka-duka sambutan dalam keadaan kelam kabut hingga ada yang terpaksa menjamah mi segera pada pagi hari raya apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan Aidilfitri disambut pada Isnin.
Tok Chey bernasib baik walaupun tarikh hari raya diumumkan sehari lebih awal kerana bahan mentah untuk penyediaan juadah sudah tersedia lebih awal.
Jadi, Tok Chey tidak perlu untuk bersusah payah beratur panjang di pasar awam dan kedai runcit untuk membeli barang keperluan pada malam dan pagi hari raya.
Syukur Alhamdulilah, sambutan hari raya Tok Chey berjalan lancar dan masih boleh menyediakan pelbagai juadah untuk dijamah tetamu pada pagi hari raya.
Dalam kegembiraan menyambut Syawal, ada perkara yang bagi Tok Chey perlu diatasi segera kerana jika tidak ditangani ia akan terus berulang dan berulang pada masa depan yang akhirnya akan menyebabkan rakyat menjadi tertekan.
Ia adalah melibatkan soal kemudahan jalan raya bagi orang ramai yang menggunakan laluan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).
Bagi Tok Chey, lebuh raya PLUS perlu dinaik taraf menjadi tiga lorong kerana laluan dua lorong sudah tidak lagi relevan dengan jumlah kenderaan yang makin bertambah saban tahun.
Seperti yang diketahui, pada perayaan kali ini, sejumlah 4 juta kenderaan menggunakan Lebuh raya PLUS dan kesesakan luar biasa dapat dilihat sejak warga kota mula pulang ke kampung dan kembali semula ke ibu kota.
Apa yang Tok Chey alami sendiri, dan situasinya sama setiap musim perayaan ialah kesesakan teruk untuk memasuki Hentian Rehat dan Rawat (R&R) menyebabkan hanya satu lorong dapat dilalui untuk meneruskan perjalanan.
Keadaan makin parah apabila berlaku kemalangan hingga menghalang laluan, pengguna lebuh raya akan tersangkut dalam kesesakan dalam tempoh yang lebih lama.
Adalah tidak wajar menyeksa pengguna lebuh raya dengan ‘memerangkap’ mereka dalam tempoh yang lama sedangkan mereka membayar sejumlah wang untuk menggunakan kemudahan tersebut.
Contohnya jika Tok Chey pulang ke kampung di Kedah, ia akan mengambil masa 5 jam pada hari biasa. Jika waktu perayaan perjalanan boleh berlanjutan sehingga 12 jam yang menyebabkan pembaziran masa dan petrol.
Satu lagi yang Tok Chey nak cadangkan ialah pemasangan lampu di sepanjang lebuh raya kerana sesetengah kawasan amat gelap dan bergantung sepenuhnya kepada lampu kenderaan.
Pihak PLUS perlu memandang serius syor ini kerana berdasarkan pengalaman Tok Chey ada pengguna lebuh raya yang berhadapan dengan situasi mencabar apabila kenderaan mereka rosak ataupun perlu menukar tayar di kawasan yang gelap itu.
Selain boleh mengundang kemalangan, keberadaan mereka di kawasan gelap ketika menunggu kehadiran mekanik amat-amat menyulitkan.
Hanya yang pernah melalui pengalaman rosak di kawasan gelap dapat memahami betapa peritnya berada di kawasan gelap di tepi lebuh raya.
Oleh itu, dengan hasil tahunan berbilion ringgit yang diperolehi PLUS hasil kutipan tol dan sewaan iklan serta pendapatan lain, adalah amat wajar penambahbaikan dilakukan di lebuh raya berkenaan.
Ia secara langsung dapat memberi keselesaan kepada pengguna dan seterusnya bertepatan dengan nilai bayaran tol yang dikeluarkan pengguna lebuh raya.
Leave a Reply