BEKAS Pengarang Urusan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Mohamad Nasir Yusoff, meninggal dunia hari ini pada usia 62 tahun.
Anak sulung Allahyarham, Nur Nadzmi Nasirah Mohamad Nasir berkata, arwah yang menghidap pelbagai penyakit, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5.48 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), selepas mengadu kepenatan sejurus mendarat dari Miri, Sarawak.
“Selepas turun daripada pesawat, arwah mengadu berasa mengah dan penat sangat lalu meminta untuk baring. Tidak lama selepas itu arwah dah tak ada (meninggal). Arwah baru pulang beraya di Miri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, jenazah ketika ini berada di Jabatan Forensik Hospital Serdang dan dijangka dikebumikan esok pagi di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang.
Nasirah yang sedang hamil tujuh minggu, berkata, beliau sedikit ralat kerana arwah bapanya yang sangat gembira dengan berita kehamilannya, tidak dapat melihat cucu yang bakal lahir.
Mohamad Nasir yang memulakan perkhidmatan di Bernama pada 1 Okt 1983 dan bersara wajib pada 7 Mac 2020, meninggalkan isteri, Halimah Piee dan empat anak, iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Roslan Ariffin menyifatkan arwah sebagai seorang rakan sekerja yang berdedikasi sepanjang berkhidmat di Bernama.
“Saya kehilangan seorang rakan baik dan berasa amat sedih apabila menerima berita tentang pemergian arwah pagi tadi,” katanya.
Ketua Pengarang Bernama, Khairdzir Md Yunus pula berkata, Allahyarham, yang pernah bertugas sebagai Koresponden Bernama di Jakarta, Indonesia turut aktif dan memainkan peranan besar dalam merapatkan hubungan antara wartawan serumpun Malaysia-Indonesia semasa beliau masih bertugas di Jakarta mahupun sekembalinya ke tanah air.
“Ini terutamanya menerusi penglibatan aktif beliau dalam Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) sejak beberapa tahun lepas. Pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar buat dunia kewartawanan serumpun baik di Malaysia mahupun di Indonesia,” katanya.
Beliau berkata, Allahyarham seorang yang sangat berdedikasi dalam menjalankan apa juga tugasan yang diamanahkan kepada beliau, selain kreatif dan banyak memberi idea terutamanya sewaktu beliau memimpin Meja Rencana.
Katanya, arwah juga seorang yang peramah, baik hati serta tidak lokek membantu sesiapa baik wartawan lama mahupun yang baharu. – BERNAMA
Leave a Reply