JPJ kenal pasti pemilik Toyota Vellfire guna lampu strob

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengenal pasti pemilik kenderaan jenis Toyota Vellfire yang tular di media sosial kerana menggunakan lampu strob dan membunyikan hon hingga mengakibatkan pengguna jalan raya lain terpaksa memberikan laluan kepada kenderaan itu.

Ketua Pengarahnya Datuk Zailani Hashim berkata tindakan penguatkuasaan akan segera diambil terhadap pemilik kenderaan terbabit kerana pemasangan suar atau lampu strob tanpa kebenaran JPJ adalah satu kesalahan.

Beliau berkata pemasangan lampu itu tanpa kebenaran adalah salah mengikut Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 serta Peraturan 138 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 170/59 dan boleh diambil tindakan tegas di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

  “Kenderaan yang terlibat dengan tugasan kecemasan seperti ambulans, kereta bomba, kenderaan kastam, kenderaan polis, kenderaan penjara dan kenderaan JPJ sahaja dibenarkan untuk mendapat hak laluan kenderaan lain di jalan raya.

‘’Ia dengan cara menyalakan lampu strob dan membunyikan siren serta hon dua nada, dengan syarat pemandu kenderaan itu tidak memandu secara berbahaya, cuai atau tidak bertimbang rasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas JPJ menerima aduan awam melalui aplikasi TikTok berhubung penggunaan suar atau lampu strob oleh kenderaan jenis Toyota Vellfire.

Dalam video tular berdurasi 16 saat itu, kenderaan terbabit yang menggunakan lampu strob bertindak membunyikan hon mengakibatkan pengguna jalan raya yang lain terpaksa memberikan laluan kepadanya.

— BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *