SEORANG lelaki berhadapan hukuman mati selepas didakwa atas dua pertuduhan mengedar dadah dengan berat keseluruhan kira-kira 13.75 kilogram, di Mahkamah Majistret Marang di Marang.
Tertuduh Aziz Said, 55, juga hari ini didakwa atas tuduhan mengambil dadah di mahkamah yang sama dan ketiga-tiga pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine masing-masing seberat 13,199.52 gram (g) dan 555.2g pada 18 April, lebih kurang 12.50 tengah malam di Kampung Surau Haji Yaakob di Marang.
Pertuduhan di bawah Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 itu, boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan juga sebatan tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum mati.
Bagi pertuduhan ketiga pula, lelaki yang bekerja sendiri itu didakwa telah memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badannya sendiri pada tarikh yang sama, jam lebih kurang 4 pagi di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Marang.
Aziz melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) (a) akta sama, yang boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, dan diikuti dengan perintah pengawasan di bawah Seksyen 38B ADB (Pindaan 2002) antara dua hingga tiga tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Rabiatul Adawiyah Nik Soupy manakala tertuduh tidak diwakili peguam, dan mahkamah menetapkan 28 Julai ini sebagai sebutan semula kes.
— BERNAMA
Leave a Reply