scorpene

Kes Scorpene: Perancis mula bicara, Malaysia bila lagi? Soal Anwar

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan persoalan tentang skandal pembelian kapal selam Scorpene oleh Malaysia dari sebuah syarikat Perancis.

Beliau telah meneliti laporan terkait mahkamah Perancis yang mendakwa syarikat aset pertahanan, Thales kerana terbabit dalam skandal rasuah transaksi penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002.

“Kes ini berlangsung dan dibicarakan di Paris, Perancis, dan pihak berkuasa Malaysia seolah ambil ringan dan aspek keadilan nampaknya tidak menjadi isu besar untuk disegerakan.

“Saya mendesak agar kerajaan dan pihak terlibat untuk segera menyatakan pendirian dan menjelaskan bagaimana watak-watak yang terlibat dapat dihadapkan ke muka pengadilan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, AFP melaporkan bahawa mahkamah Perancis telah mendakwa syarikat kontraktor aset pertahanan, Thales atas tuduhan rasuah dalam urusan penjualan dua buah kapal selam Scorpene dam sebuah kapal selam Agosta kepada Malaysia.

Transaksi bernilai AS$1.2 bilion tersebut melibatkan DCN iaitu kontraktor kapal tentera laut di Perancis yang kini menjadi anak syarikat Thales.

Jenayah itu dikatakan berlaku pada 2002, ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Pertahanan.

Abdul Razak Baginda merupakan perunding dalam transaksi berkenaan dan dituduh menerima rasuah berjumlah lebih €114 juta (RM528.62 juta) melalui sebuah syarikat di mana beliau merupakan pemegang saham terbesar.

Wang tersebut dikatakan diberi kepada seorang pemimpin di Malaysia dan difahamkan beliau telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Najib sedang dalam proses rayuan terhadap sabitan bersalah kes SRC International dan masih berdepan perbicaraan rasuah berkaikan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Abdul Razak telah dituduh di mahkamah Perancis pada 2017 dan secara keseluruhan, seramai sembilan defendan termasuk Thales, telah didakwa di negara berkenaan.

Mereka termasuk bekas Pengerusi DCN, Philippe Japiot dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Thales, Jean-Paul Perrier serta dua lagi bekas pegawai kanan.

Keempat-empat mereka mengaku tidak bersalah manakala kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa tiada unsur rasuah dalam kontrak pembelian Scorpene.

Thales menyatakan kepada AFP bahawa ia akan mempertahankan diri terhadap tuduhan berkenaan.

Sumber memberitahu AFP bahawa siasatan skandal Scorpene telah ditutup pada Januari lalu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *