Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT
JAMBATAN Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) selaku pemegang konsesi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) atau juga dikenali Jambatan Kedua Pulau Pinang menawarkan diskaun tol sebanyak 30 peratus sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
JKSB dalam kenyataan hari ini berkata, pemberian diskaun kepada semua kelas kenderaan itu akan bermula pukul 12 tengah malam 30 April (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam 1 Mei (Ahad) ini.
Tambahnya, pemberian diskaun juga akan diberikan bermula pukul 12 tengah malam 7 Mei (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam 8 Mei (Ahad) ini.
“Inisiatif yang diumumkan oleh pihak Kerajaan Malaysia ini disokong oleh JKSB dalam usaha mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri,” demikian menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, JSAHMS merupakan pilihan untuk para pengguna keluar masuk dari atau ke bahagian pulau selain merupakan ‘direct dual carriageway’ yang menghubungkan secara terus Batu Kawan kepada bahagian utama pulau dan menghubungkan Batu Kawan secara terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas Pulau Pinang (LTAPP).
Tambahnya, para pengguna akan sampai ke kawasan tersebut dengan lebih mudah tanpa perlu menempuh kesesakan yang serius.
“Tidak dinafikan, JSAHMS terletak lebih jauh daripada mod lintasan yang lain, tetapi jika dipertimbangkan dari segi kesenangan para pengguna, JSAHMS merupakan alternatif terbaik,” katanya.
Leave a Reply