MAHKAMAH Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir difailkan ibu Nagaenthran K Dharmalingam untuk mencabar keputusan bagi mengenepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.
Dengan keputusan itu, ia menamatkan ikhtiar saat akhir warga Malaysia berusia 34 tahun itu yang dijadualkan dihukum gantung esok selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati ke atasnya bulan lalu.
Ibu Nagaenthran, Panchalai Supermaniam memfailkan permohonan itu dengan bantuan rakan dan aktivis tanpa diwakili peguam.
Terdahulu, semasa perbicaraan, Panchalai berkata melalui jurubahasa: “Saya ibunya. Saya membuat petisyen. Kami mahu dia hidup. Kami perlu mendapatkan peguam untuk kes ini.”
Dia ditemani anak saudaranya, Thenmoli Sunniah.
Asas kepada cabaran undang-undang itu ialah Hakim Sundaresh Menon yang mengetuai dan menolak rayuan Nagaenthran sebelum ini merupakan peguam negara yang telah mendakwa Nagaenthran dan memastikan sabitannya.
Perbicaraan didengar di hadapan tiga hakim iaitu Andrew Phang, Judith Prakash dan Belinda Ang bermula 2.30 petang dan ditangguhkan kira-kira 30 minit kemudian sebelum disambung semula pada 4.30 petang untuk mendengar keputusan.
Selepas permohonan ibunya ditolak, mahkamah membenarkan Nagaenthran berpegangan tangan dengan tujuh ahli keluarganya yang hadir di kamar mahkamah.
Mengenakan pakaian seragam penjara berwarna ungu, Nagaenthran kelihatan tenang semasa bercakap dengan ibu dan ahli keluarganya.
Berasal dari Perak, Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009 ke Singapura, yang diketahui antara negara mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.
Kes Nagaenthran menarik perhatian antarabangsa.
Pada 7 Nov 2021, dilaporkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menulis surat kepada rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong memohon kelonggaran dalam kes itu.
Sementara itu pada 3 Dis, Presiden Singapura Halimah Yacob berkata, Nagaenthran telah diberikan proses undang-undang yang sewajarnya.
Peguam Nagaenthran mendakwa anak guamnya kurang upaya dari segi intelek.
Dia sepatutnya dihukum gantung pada 10 Nov 2021, tetapi mendapat penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah diberitahu dia positif Covid-19 apabila hadir untuk percubaan rayuan terakhir terhadap hukuman matinya.
Leave a Reply