Polis klasifikasi penemuan mayat dengan kaki terikat besi sebagai kes bunuh

KEJADIAN seorang lelaki Indonesia yang mayatnya dijumpai mati dalam keadaan kaki kiri diikat dengan rantai besi pada sebuah kerusi di kawasan parkir di sebuah apartmen di Jelutong, Pulau Pinang pada Jumaat lalu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komissioner Soffian Santong berkata, perkara itu berikutan terdapat beberapa perkara yang mencurigakan dalam kes tersebut khususnya berhubung penggunaan rantai besi pada kaki mangsa.

Selain itu ujar beliau, tindakan rakan serumah mangsa yang melarikan diri sejurus kejadian itu juga menjadi tanda tanya.

”Berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan, kita mengklasifikasikan semula kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh,” katanya kepada pemberita hari ini.

Pada 22 April lalu, mayat seorang lelaki warga Indonesia ditemukan dalam keadaan kaki kirinya diikat dengan rantai besi selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah inap desa di apartment Eastern Court, Jelutong, Pulau Pinang.

Mangsa berusia 33 tahun itu dijumpai orang awam di pekarangan tempat letak kereta apartment tersebut kira-kira pukul 5.30 petang.

Sementara itu Soffian berkata, polis turut menahan dua lelaki termasuk rakan serumah mangsa bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Ujar beliau, kedua-dua lelaki merupakan warga tempatan yang mana suspek pertama berusia 52 tahun ditahan di sebuah hotel di Jalan Penang pukul 12.10 tengah malam tadi manakala suspek kedua berusia 45 tahun ditahan pukul 1.30 pagi tadi di sebuah rumah di Jalan Lintang Air Itam.

”Kedua-dua mereka direman sehingga 29 April ini bagi membantu siasatan dan kita juga berjaya mengesan rakan serumah mangsa yang melarikan diri selepas kejadian tersebut,” katanya.

Dalam pada itu tambah beliau, bedah siasat mendapati kematian mangsa disebabkan kecederaan parah di kepala dan badan akibat jatuh dari tempat tinggi selain mangsa turut didapati positif Covid-19.

“Bagaimanapun, laporan bedah siasat tidak menjumpai sebarang tanda-tanda pergelutan, namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *