peniaga makanan barang kemas penganggur emas remaja jamin hukuman mati rakan youtuber kasanova

Dipenjara 15 tahun, 8 sebatan cedera isteri dan keluarga mentua

Oleh RAHIMI MOHAMAD

SEORANG suami dipenjara 15 tahun dan lapan sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, hari ini atas kesalahan mencederakan ahli keluarganya dengan sebilah parang panjang, dua minggu lalu.

Hadi Hashim, 38, yang bekerja sebagai pemandu lori membuat pengakuan itu bagi empat pertuduhan yang dihadapinya ketika dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norsiah Ujang.

Dia didakwa menyebabkan cedera parah ke atas ibu mentuanya, Puasa Yasik, 57, menggunakan sebilah parang panjang di Jalan Siakap 5, Kampung Sedili Kecil, kira-kira pukul 8.22 malam, pertengahan bulan ini.

Tertuduh juga didakwa melakukan perbuatan sama ke atas isterinya, Norwahida Rosli, 33, dan dua adik iparnya iaitu Norwadiha Rosli, 32, serta Mohamad Amirul Iskandar Kamaruzaman, 16, di lokasi dan waktu yang sama.

Hadi didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama. Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat bagi Seksyen 326.

Sementara bagi Seksyen 326A, dia boleh dihukum penjara bagi satu tempoh sehingga dua kali ganda tempoh maksimum yang mana boleh dipenjara maksimum 40 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Irsyad Mardi manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK), Nur Shuhadah Mahzan.

Dalam rayuannya, Nur Shuhadah memohon hukuman tertuduh diringankan kerana lelaki itu mempunyai keluarga dan tanggungan dua anak berusia lima tahun dan tiga bulan serta hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,300 sebulan.

Hujahnya, punca kejadian itu akibat selisih faham kerana wang bernilai RM4,000 di mana ketika kejadian, tertuduh baru pulang bekerja dan telah diasak berkenaan duit tersebut oleh ibu mentuanya.

Disebabkan keadaan diri tertuduh yang penat menyebabkan dia hilang pertimbangan ketika itu, namun telah ke balai polis untuk menyerah diri tidak lama kemudian selain insaf dan sedar serta tidak akan mengulangi perbuatan sama.

Namun, Muhammad Irsyad memohon mahkamah mengenakan hukuman berat ke atas tertuduh dan tertuduh tidak wajar dikenakan hukuman minimum ekoran kesalahan serius dilakukan kerana perbuatan tidak wajar sehingga menyebabkan cedera parah ke atas semua mangsa yang kini masih trauma.

Norsiah kemudian memerintahkan tertuduh menghadapi hukuman 15 tahun penjara dan dua sebatan atas setiap pertuduhannya yang berjalan serentak daripada tarikh tertuduh ditahan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *