calon kerusi Anwar PKR

Sokong Anwar jadi PM kalau mahu kerjasama PKR

MESTI sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sekiranya ingin bekerjasama dengan PKR.

Ketetapan itu ditegaskan oleh bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Beliau berkata, sokongan terhadap kepimpinan Anwar adalah amat penting bagi parti itu dan sekutunya selepas kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sarawak dan Melaka.

“Dalam Pakatan Harapan (PH), masih sama; Anwar satu-satunya calon perdana menteri. Parti lain yang mahu bekerjasama mesti terima ketetapan itu.

“Kita mesti rapatkan saf di belakang Anwar, semua sebagai satu suara, dan percaya pada kepimpinannya. Jika kita satu suara, masyarakat akan terima mesej kita,” katanya dalam temu bual bersama FMT.

Namun, syarat itu agak sukar dipenuhi oleh parti-parti lain dalam kem pembangkang termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan.

Malah, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal baru-baru ini pernah menyebut bahawa rakyat mahu melihat perubahan kepimpinan.

Farhash percaya, PKR dan sekutunya dalam PH mempunyai kekuatan secukupnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau menambah, sebarang kerjasama lanjut dengan parti pembangkang lain haruslah dikaji secara mendalam dan mestilah mengambil kira pandangan akar umbi.

Dalam pada itu, Farhash berkata, PKR mahu melangkah ke PRU-15 dengan kemahuan dan keyakinan untuk menang.

“Jangan tawar hati dengan cakap-cakap kononnya kita tidak akan dapat memenangi dua pilihan raya akan datang. Politik boleh berubah bila-bila masa, jangan menyerah kalah,” katanya.

Beliau tidak bersetuju dengan kenyataan bekas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bahawa PH memerlukan sekurang-kurangnya dua pusingan pilihan raya untuk menawan Putrajaya.

Farhash berkata, PKR dan PH mesti mendengar denyut nadi akar umbi dan pengundi jika mahu faham sentimen di lapangan, serta meningkatkan peluang mereka menjelang PRU15.

Mengulas mengenai pemilihan PKR tidak lama lagi, Farhash berkata pemilihan itu langkah perlu untuk ‘membersihkan’ parti dan mengisi kekosongan dalam saf kepimpinan.

“Pemilihan ini salah satu langkah untuk kami merapatkan saf dan kembali lebih kuat,” katanya.

“Ketika ini ada kekosongan yang ketara. Kami tiada timbalan presiden, banyak naib presiden tidak ada, malah ada kekosongan jawatan di beberapa bahagian.”

Farhash berkata PKR perlu mengisi kekosongan di jawatan-jawatan penting parti agar dapat menghadapi PRU15 dengan sempurna.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *