Lelaki Indonesia maut terjatuh pangsapuri dengan kaki terikat besi

PENDUDUK di sebuah pangsapuri di Eastern Court, Jelutong, Pulau Pinang dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan kaki kirinya diikat dengan rantai besi di pekarangan tempat meletak kenderaan pangsapuri itu petang semalam.

Mayat lelaki warga Indonesia berusia 33 tahun itu ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 5.30 petang selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan pangsapuri tersebut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mangsa dipercayai terjatuh dari salah sebuah bilik di kediaman yang disewanya bersama seorang rakan berketurunan Cina.

Jelas beliau, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian termasuk mengesan rakan serumah mangsa yang berusia 54 tahun.

Tambahnya, mangsa ditemui dalam keadaan berdarah pada bahagian kepala dan pemeriksaan lanjut di dalam bilik dipercayai tempat dia terjun mendapati tiada sebarang kesan pergelutan,” jelasnya.

Tambah beliau, seorang saksi yang juga penghantar makanan memaklumkan sempat berjumpa dengan salah seorang rakan mangsa pukul 5 petang semalam.

Ujarnya, siasatan awal polis mendapati mangsa dan rakannya itu datang dari Melaka dan mula menyewa kediaman ersebut sejak 13 April lalu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti tujuan sebenar mereka ke sini termasuk motif kejadian sama ada terjun mahupun sebaliknya.

“Kita juga sedang giat mengesan rakan mangsa itu,” jelasnya.

Tambah Soffian, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat dan setakat ini polis mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *