SEORANG anggota polis berpangkat brigadir (sarjan) ditahan kerana memukul seorang kanak-kanak lelaki di Kota Baubau, Sulawesi Tenggara, Indonesia pada Isnin lalu.
Tindakan itu diambil setelah rakaman video yang merakamkan perbuatan tersebut tular dalam media sosial.
Memetik laporan Detik.com, kejadian berlaku di sebuah lorong di Kota Baubau.
Pada mulanya, kelihatan kereta berwarna merah yang dipandu suspek berpapasan dengan basikal yang ditunggal seorang kanak-kanak lelaki.
Secara tidak sengaja, basikal kanak-kanak tersebut tergesel dengan bahagian belakang kereta suspek.
Sebaik sahaja menyedari apa yang berlaku, lelaki berkenaan memberhentikan keretanya sebelum memanggil budak lelaki itu menghampirinya.
Selepas keluar dari kereta, suspek menarik baju kanak-kanak itu dan menolaknya ke tepi lorong.
Dia kemudian memukul pipi kanan dan seterusnya perut mangsa sebelum menendang perutnya sehingga kanak-kanak itu jatuh tersungkur.
Selepas insiden itu, suspek meninggalkan sahaja mangsa di Lorong Kuda Putih, Kelurahan Tarafu, Kecamatan Batupoaro.
Sementara itu, Ketua Polis Baubau, Erwin Pratomo mengesahkan kejadian yang berlaku pada pukul 4.30 petang waktu tempatan itu dilakukan oleh seorang anggota polis.
Beliau juga sudah bertemu mangsa dan keluarganya ketika mereka hadir membuat laporan di sebuah balai polis.
Erwin turut mengesahkan anggota polis berpangkat sarjan terbabit sudah ditahan untuk siasatan lanjut.
“Suspek yang dipercayai anggota polis tersebut sudah kami tahan dan siasat,” jelasnya.
Leave a Reply