SAKSI kelima pihak pendakwaan dalam kes pengabaian dan penganiayaan seorang remaja perempuan syndrome down dikenali Bella menafikan dibayar untuk memberi keterangan palsu kepada mahkamah, hari ini.
Memetik laporan Berita Harian, peguam, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd. Razali mencadangkan kepada Yasmin Nahar Mahmood, 19, bersama bapanya dibayar di luar mahkamah yang mendesak keadilan untuk Bella yang dikenali ‘Justice For Bella’.
Bagaimanapun, saksi tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu dalam prosiding perbicaraan hari ini.
Sementara itu, Yasmin bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Bella perlu berdiri setiap hari atas arahan Siti Bainun.
Susulan itu, satu klip video ditayangkan di mana peguam bertanyakan soalan apakah yang dilakukan oleh Bella.
Yasmin menjawab Bella sedang mengutip nasi serta tidak berdiri dan tidak duduk.
Nur A’minatul kemudian mencadangkan bahawa ia boleh memnyebabkan Bella mengalami ‘inflammation’ atau keradangan di lutut dan kaki tidak boleh bergerak.
Saksi bagaimanapun tidak berpuas hati dengan soalan peguam itu dan hanya menjawab ‘tidak pasti’.
Dalam prosiding sama, mahkamah turut menayangkan satu klip video yang memaparkan Bella ketika pertama kali ditemui oleh pengadu kes iaitu saksi pertama pendakwaan, Zurianty Sudin, di mana wartawan dan orang awam tidak dibenarkan berada dalam mahkamah.
Nur A’minahtul Mardiah memohon mahkamah hanya hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan dibenarkan menontonnya kerana Bella adalah remaja bawah umur dan dilindungi, dan permohonan itu dibenarkan oleh Hakim Izralizam Sanusi.
Selepas tayangan video itu, peguam bertanyakan kepada saksi sama ada Bella ada menyebut nama Siti Bainun, dalam klip video berkenaan, yang dijawab saksi, ‘tidak’.
Susulan itu Yasmin bersetuju dengan cadangan peguam bela bahawa ketika wanita yang dipanggil ‘mommy’ (saksi pendakwaan pertama) bertanyakan kepada Bella siapa mengikatnya, mangsa menjawab ‘Shomin’.
Ketika menjawab soalan peguam bela sebelum ini, Yasmin mengesahkan bahawa Bella memanggilnya dengan gelaran ‘Shomin’.
Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan berkenaan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Leave a Reply