PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berpendapat, perbincangan mengenai sasaran kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bukan perkara yang ingin diketahui rakyat.

Sebaliknya kata Ahli Parlimen Muar itu, rakyat mahu masalah mereka diselesaikan dan sebab itu Muda lebih fokus mengadakan dialog dengan wakil komuniti untuk memahami masalah yang dihadapi.

“Ramai yang sudah muak dengan perbincangan kerusi dan politik kuasa. Lebih baik bincang kerjasama antara rakan-rakan kerana perkara paling penting ialah penyelesaian masalah.

“Kalau orang kata kos sara hidup di Semenanjung susah, di Sabah lagi teruk sebab polisi kabotaj. Isu jurang pendidikan jauh lebih teruk di Sabah begitu juga isu kemiskinan jauh lebih teruk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada mesyuarat ‘Townhall’ Muda sempena Jelajah Presiden, di Karamunsing, Kota Kinabalu, hari ini, lapor Sinar Harian.

Syed Saddiq ditanya selepas selesai Jelajah Muda adakah parti itu sedang mengintai kerusi di Sabah untuk PRU akan datang.

Mengulas lanjut, beliau mahu Muda Sabah sentiasa memantau tanggungjawab yang dilaksanakan kerajaan negeri berhubung masalah yang dihadapi.

“Sebelum ini sebanyak RM150 juta ditambah lagi RM145 juta menerusi program pemberian tablet dan komputer riba oleh kerajaan Sabah sudah umumkan.

“Muda Sabah perlu menuntut komputer riba dan tablet yang dijanjikan kerajaan negeri, bagaimana perbelanjaannya dan jenis yang diberikan serta siapa penerimanya,” katanya.

Sebelum itu, turut dimaklumkan bahawa Muda akan mendekati kesemua 25 Parlimen di negeri ini sebelum pelancaran Muda di peringkat Sabah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here