Polis ingatkan jangan guna duit KWSP untuk berjudi

PENNCARUM yang menerima menerima kelulusan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diingatkan supaya tidak terjebak dengan sebarang aktiviti perjudian dalam talian.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mereka perlu sentiasa berwaspada kerana akan ada sindiket perjudian mengambil kesempatan terhadap mereka.

“Gunakan wang yang diperoleh bagi tujuan kebaikan dan jangan salah guna untuk aktiviti perjudian dalam talian.

“Mereka juga dinasihatkan untuk tidak terpengaruh dengan pinjaman wang tidak berlesen sehingga memberi kemudaratan,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur, hari ini, lapor Harian Metro.

Terdahulu, media melaporkan pengeluaran khas KWSP akan dikreditkan secara berperingkat mulai hari ini.

KWSP dalam kenyataan dilaporkan berkata, sebanyak 5.3 juta permohonan untuk kemudahan Pengeluaran Khas diterima KWSP sejak dibuka pada 1 April hingga Khamis lalu, yang membabitkan amaun pengeluaran berjumlah RM40.1 bilion.

Menurut KWSP, jumlah permohonan itu merangkumi 44 peratus daripada 11.95 juta ahli yang layak membuat pengeluaran.

Ia membabitkan 55 peratus ahli B40 yang layak (berpendapatan kurang daripada RM1,700); 59 peratus ahli M40 (RM1,701 – RM4,900), dan 39 peratus ahli T20 (berpendapatan melebihi RM4,900) manakala sebanyak 29 peratus ahli tidak formal dan tidak aktif turut mengemukakan permohonan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *