SEORANG lelaki mengaku menerima upah sebanyak RM800 bagi penghantaran sejumlah 264 kotak mercun dan 425 helai seluar jeans bernilai RM52,500, dari pangkalan haram di Pasir Mas ke Kota Bharu.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, perkara itu didedahkan suspek ketika soal siasat selepas ditahan di Sekatan Pintas Serongga dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, semalam.
Beliau berkata, sebelum itu suspek berusia 30 tahun yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra dalam keadaan mencurigakan itu ditahan pada pukul 4.45 petang.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas MPV itu telah menjumpai mercun sebanyak 264 kotak dan 425 helai seluar jeans.
“Semua barangan seludup itu telah disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang dan bonet belakang kenderaan tersebut.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek menerima upah sebanyak RM800 bagi satu trip penghantaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.
Katanya, kesemua barangan tersebut dipercayai di seludup dari Thailand melalui pangkalan haram untuk dipasarkan di sekitar Kota Bharu.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM69,500.
“Kesemua rampasan termasuk suspek telah dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut. Kes disisat bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengesan individu lain yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan ini,” katanya.
Leave a Reply