Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
POLIS sudah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes langgar lari melibatkan sebuah kereta dan motosikal di Kilometer 16, Jalan Johor Bharu-Air Hitam, Iskandar Puteri, pada pukul 9 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, laporan polis kejadian tersebut sudah dibuat terhadap suspek yang memandu kereta jenis Toyota CH-R merah.
“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.
“Suspek sudah dikenal pasti dan sedang dikesan untuk diambil keterangan. Kes masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tular video berdurasi 34 dan 23 saat memaparkan sebuah kereta melanggar sebuah motosikal sebelum bertindak melarikan diri.
Selain itu katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri sedang menyiasat satu lagi kes langgar lari melibatkan suspek di Persiaran Ledang, Iskandar Puteri pada pukul 9.30 malam Isnin.
Tambah beliau, laporan polis juga sudah dibuat terhadap kes berkenaan.
Leave a Reply