USAHA melakukan reformasi dalam PKR dijangka berdepan kesukaran selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal menyandang jawatan Presiden parti itu bagi penggal 2022-2024.
Memetik laporan FMT, penganalisis dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun percaya PKR akan bergelut untuk melahirkan pemimpin baharu dengan idea baharu.
Menurut beliau, situasi itu berlaku kerana pemimpin lama masih berpegang teguh pada kuasa.
“Keputusan Anwar mempertahankan jawatannya tidak mengejutkan kerana dia tidak mungkin berhenti (berpolitik) sebelum dia menjadi Perdana Menteri.
“Bagaimanapun, keputusannya memberi implikasi kepada parti. Ini bermakna pemindahan kepimpinan generasi perlu menunggu lebih lama.
“Ia akan mencetuskan beberapa siri perebutan kuasa sesama sendiri yang akhirnya mengakibatkan pemimpin lari daripada parti seperti contoh bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.”
Ei Sun menambah, tanpa reformasi dalaman parti, adalah sukar bagi PKR dan Pakatan Harapan (PH) untuk bertahan dalam pilihan raya umum akan datang.
“Ini kerana Anwar tidak lagi dianggap sebagai pemimpin yang memberi inspirasi yang boleh membawa kemenangan kepada pakatan pembangkang,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara menyifatkan kedudukan terbawah parti itu berdasarkan beberapa keputusan yang didakwa ‘silap’ yang telah dibuat oleh Anwar.
Sebagai contoh, beliau memetik keputusan PKR menggunakan logo sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan lalu.
Azmi berkata, prospek PKR untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan suram jika parti itu menggunakan strategi yang sama digunakan dalam PRN Johor.
Beliau berkata, Anwar perlu berundur sebagai Presiden selepas PRU-15 bagi memberi laluan kepada tokoh-tokoh terkenal seperti Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Naib Presiden, Rafizi Ramli.
Leave a Reply