Pemilik taska didakwa abai kanak-kanak

Oleh RAHIMI MOHAMAD

SEORANG wanita yang merupakan pemilik taska mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di Muar hari ini setelah berdepan pertuduhan mengabai dua kanak-kanak lelaki yang berada di bawah jagaannya sehingga berisiko mendatangkan kecederaan, dua bulan lalu.

Tertuduh, Khairuzilawati Ruslan, 57, membuat pengakuan terbabit ketika dua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Bagi pertuduhan pertama, ibu tunggal yang juga guru di taska berkenaan dituduh mendedahkan mangsa berusia tiga tahun dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan muka.

Sementara pertuduhan kedua pula, Khairuzilawati berdepan tuduhan mendedahkan mangsa berusia tiga tahun dengan cara yang mungkin menyebabkan kanak-kanak itu lemas apabila menutup mulut dan hidung mangsa menggunakan kain mini telekung.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Tadika Qurnia Genius yang beralamat No. 25, Tingkat 1, Jalan Perniagaan Mas Jaya, Jalan Salleh di Muar, kira-kira pukul 10.30 pagi dan 4 petang, 7 Februari lalu.

Khairuzilawati berdepan dakwaan di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda RM25,000 atau penjara selama tidak melebihi 25 tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ummi Amyra Natasha Azhar yang meminta mahkamah menetapkan ikat jamin berjumlah RM25,000 bagi setiap pertuduhan serta larangan tertuduh mendekati mangsa dan keluarga mangsa.

Namun, Nor Hafizah Abdullah, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah tersebut berikutan wanita tersebut memiliki lapan anak selain mengalami penyakit berkaitan otak.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, selain larangan tertuduh mendekati mangsa, keluarga mangsa dan juga saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 12 Mei depan untuk tarikh sebutan semula kes bagi proses serahan dokumen serta lantikan peguam bela oleh tertuduh.

Awal bulan ini, seorang guru tadika ditahan polis kerana disyaki mendera empat kanak-kanak di sebuah tadika swasta di daerah itu setelah menyerah diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, siasatan mendapati salah seorang ibu kepada mangsa menerima rakaman video anaknya disyaki menjadi mangsa dera oleh guru terbabit.

Guru wanita itu disyaki melakukan perbuatan tersebut sejak November tahun lalu dan berlarutan hingga bulan lalu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *