SEORANG pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintenden (ASP) dan seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini atas dakwaan melepaskan 11 suspek warga China berkait kes Macau Scam tahun lalu.
Bagaimanapun tertuduh, ASP Mohamad Azrim Abu Bakar, 41, dan S. Muniandy, 62, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd. Wahab.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Azrim didakwa mengingkari arahan undang-undang untuk menyerahkan 11 warga asing kepada Jabatan Imigresen dengan niat semua warga asing itu dapat diselamatkan daripada tindakan pengusiran.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut antara pukul 2 hingga 3 petang, 9 Februari tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 217 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duannya sekali.
Bagi kertas pertuduhan Muniandy pula, dia didakwa bersubahat membantu Mohamad Azrim melepaskan semua 11 warga asing itu di lokasi, waktu, dan tarikh yang sama.
Muniandy yang diisytihar muflis pada 2007 didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Mohamad Azrim diwakili oleh peguam M. M. Athimulan; T. Tamil Selvam dan K. Mahendran manakala Muniandy diwakili Hari Prassaad Rao.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazri Abdul Rahim.
Pada Mac tahun lalu, polis Pulau Pinang menahan lapan individu terdiri daripada pegawai polis, seorang kakitangan Jabatan Imigresen serta orang awam bagi membantu siasatan kes melepaskan orang kena tuduh (OKT) Macau Scam warga China di negeri itu.
Difahamkan, beberapa pegawai polis Pulau Pinang dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dipercayai telah melepaskan lebih 11 OKT yang terlibat dalam Macau Scam dengan cara menyerahkan mereka kepada ‘seorang pegawai dari sebuah agensi kerajaan’ untuk diambil tindakan.
Bagaimanapun, kesemua OKT warga China tersebut tidak dibawa ke ibu pejabat agensi tersebut dan dipercayai telah dilepaskan.
Dipercayai, pegawai polis yang terlibat menerima sejumlah wang untuk melakukan jenayah tersebut.
Dalam kejadian itu, seramai 11 tahanan Macau Scam berkenaan dikatakan diserahkan kepada seorang ‘pegawai’ Jabatan Imigresen untuk dihantar ke depoh tahanan tetapi tidak dihantar seperti yang sepatutnya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 217 Kanun Keseksaan kerana melindungi pesalah.
Leave a Reply