nathan renze chesters

Indonesia sambung operasi cari penyelam Belanda, Nathan Renze

Oleh MOHD ISWANDI KASAN ANUAR

OPERASI mengesan penyelam remaja warga Belanda, Nathan Renze Chesters yang dikatakan telah meninggal dunia selepas hilang di perairan Lagoi, Bintan, Kepulauan Riau diteruskan agensi mencari dan menyelamat Indonesia.

Menurut laporan media di Malaysia, Nathan, 14, antara empat orang yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, Mersing, Rabu lepas.

Bapanya, Adrian Peter Chesters, 46, warga Britain yang turut terbabit dalam insiden berkenaan sebelum ditemukan selamat berkata anaknya itu telah meninggal dunia kerana tidak mampu bertahan di laut.

Bagaimanapun, Ketua Polis Mersing Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, buat masa ini nasib Nathan masih belum diketahui dan pihaknya masih menganggap mangsa hilang sehingga ditemui.

Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Tanjungpinang, Slamet Riyadi dilaporkan media tempatan pada Isnin sebagai berkata Maritim Malaysia memohon bantuan meneruskan pemantauan dan pencarian.

Operasi itu kini dijalankan pasukan gabungan termasuk Tentera Laut Indonesia, Badan Keselamatan Laut, Polis Laut Riau dan Persatuan Nelayan Bintan, katanya.

Warga Norway Kristine Grodem, 35, yang juga jurulatih selam, ditemui selamat pada Khamis lepas dengan Adrian dan Alexia Alexandra Molina, 18, warga Perancis, pula dijumpai pada Sabtu di perairan Indonesia. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *