PAKATAN Harapan (PH) boleh sahaja menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekiranya ia mahu berbuat demikian.
Walau bagaimanapun, memetik laporan FMT, Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) berkata, PH tidak akan berbuat demikian.
Menurut beliau, PH mematuhi Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dengan parti pembangkang.
“Sekarang kalau kami mahu Perdana Menteri ini pun boleh ditukar. ‘If we want’. Kami tak mahu, kami dah buat perjanjian MoU.
“Jadi Perdana Menteri buatlah kebaikan untuk rakyat sehingga pilihan raya umum akan datang,” katanya ketika membahaskan Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dalam sidang khas Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad menambah, setakat ini, Ismail Sabri mengikut MoU yang telah dimeterai dengan pembangkang namun ia boleh ditambah baik dari semasa ke semasa.
“(Lihat) bagaimana sikap terbuka pihak kami. Kalau kami mahu dengan majoriti sedikit di sana kita boleh tawar apa-apa jawatan pada mereka (kerajaan) datang sebelah sini. (Jadi) menteri pula aku.
“Tetapi kita bukan jenis itu. Kalau dah tandatangan MOU, kita ikut. Perdana Menteri setakat ini Alhamdulillah lihat ikut setiap dengan MoU ini,” katanya.
Pada 13 September tahun lalu, kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri telah melakar sejarah dengan memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik bersama PH di bangunan Parlimen.
MoU yang bertujuan membentuk satu kerjasama dwipartisan yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Ke-14 hari yang sama.
MoU yang terhasil dari beberapa siri perbincangan antara wakil kerajaan dan pembangkang itu ditandatangani secara bersama oleh Ismail Sabri dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut menandatangani MoU itu ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
Semua pihak khususnya rakyat menyambut baik inisiatif berkenaan bagi meredakan keadaan akibat gejala berpolitik tidak berkesudahan walaupun ketika negara dilanda krisis COVID-19.
Mereka berharap kestabilan politik yang dihasilkan ekoran MoU tersebut akan menyumbang kepada proses pemulihan ekonomi dan mengembalikan kesejahteraan hidup rakyat yang terjejas.
Leave a Reply