PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepada semua ahli parti agar jangan terperdaya dengan janji mana-mana calon yang bertanding dalam pemilihan untuk memberi kerusi pilihan raya kepada individu-individu tertentu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menyifatkan mereka yang menabur janji sedemikian sebagai ‘pendusta’.
“Kalau ahli-ahli itu juga memilih orang kerana janji, ramai yang janji umpamanya kerusi ini kamu punya, kerusi ini pak mentua kamu punya, nasib kamulah.
“Saya nak bagitahu sebagai Presiden, saya belum tahu sama ada pertandingan atau tidak, tetapi ditakdirkan saya kekal Presiden, saya nak beritahu setakat ini sehingga hari ini saya belum menjanjikan kerusi bagi sesiapa di negara ini termasuk saya.
“Jadi, orang yang janji itu bulan Ramadan ini termasuk pendusta. Jangan kita tertipu dengan cara yang sedemikian kerana ia tidak membantu,” katanya seperti dipetik daripada rakaman video yang disiarkan dalam laman Facebook beliau.
Ucapan itu disampaikan pada majlis berbuka puasa anjuran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di Seremban, malam tadi.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut mengingatkan bahawa soal pembahagian kerusi bukan ditentukan oleh PKR secara bersendirian kerana ia perlu diputuskan secara bersama dengan pemimpin-pemimpin DAP dan Amanah.
“Ini soal urusan parti dan saya sebagai Pengerusi PH umpamanya walaupun calon itu calon PKR, itu kerusi PKR, selalu saya bawa maklumat ini untuk bincang dengan pimpinan. Dulu Guan Eng, sekarang Anthony Loke dan Mohamad Sabu.
“Jadi kita bincang sebagai satu pasukan untuk maklumkan. Mereka pun begitu juga, calon-calon dimaklumkan, setelah kita setuju dengan pembahagian kerusi,” jelasnya.
Beliau berkata, calon-calon yang terlibat dalam pemilihan hendaklah bertanding secara baik dan bukan mengadu domba seperti budaya parti-parti lain yang sudah mulai rosak.
Pada masa yang sama, Anwar menempelak individu tertentu dalam PKR yang hanya muncul pada musim pemilihan parti.
“Kadang-kadang saya lihat bila masa pertandingan parti ini, dia berhempas pulas, hebat luar biasa.
“Yang tak pernah nampak datang menonjol. Tetapi selepas itu dia tenggelam, tanpa suara, tanpa berita. Jangan jadi begitu,” katanya.
Leave a Reply