POLIS menahan seorang lelaki dan merampas 150 kilogram daun ketum selepas menyerbu sebuah rumah di Labu Kubong, Chederong Balai, Teluk Intan, hari ini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, tangkapan ke atas lelaki berusia 23 tahun itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak selepas menerima maklumat awam sekitar jam 1 pagi.
“Siasatan awal mendapati, suspek yang bekerja sebagai pesawah itu mendapatkan bekalan daun ketum dengan memetiknya sendiri dalam hutan di belakang rumahnya.
“Daun ketum terbabit dikatakan sedia ada di hutan berhampiran rumah suspek disyaki ditanam orang lain sebelum ini.
“Ketika serbuan dibuat, polis menjumpai 30 bungkus beg plastik hitam yang di dalamnya terdapat daun ketum dianggarkan seberat 150 kilogram dalam stor belakang rumah.
“Suspek mengaku daun ketum itu adalah miliknya dan bekalan itu untuk dijual kepada pembeli yang berminat,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan, suspek turut mengaku menjadi orang tengah yang mengutip dan mengumpulkan bekalan daun ketum daripada orang kampung.
Katanya, tindakan itu dibuat kerana bekalan daun yang dipetik sendiri tidak cukup untuk menampung permintaan pembeli terutama dari sekitar Teluk Intan.
“Suspek terlibat dalam perniagaan ini sejak enam bulan lalu. Dia ditahan reman selama tiga hari sehingga Isnin ini bagi siasatan kes di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 atas kesalahan memiliki daun ketum,” katanya.
Leave a Reply